Pada 9 September 2014, sebagaimana dilaporkan pelbagai media, Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman telah membuat laporan polis berhubung dakwaan, yang dianggap fitnah, mengenai pembelian bangunan di Asrama Mansora di Mesir pada tahun 2010.
Setiausaha Khas Ahmad Nidzam Abd Karim disertai Setiausaha Politik, Rusdi Muda dan Setiausaha Akhbar kepada MB, Ahmad Fauzan Abdul Kadir, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira pada jam 1 petang.
Dalam laporan itu menyebut, pada 2 September lalu, satu laman sosial Facebook yang berdaftar menggunakan Roslan Bin Abdullah memuat naik status berunsur fitnah dan hasutan terhadap Ahmad Razif.
Status berkenaan mendakwa satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat terhadap Ahmad Razif (ketika itu Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri) berkaitan pembelian sebuah bangunan asrama di Mesir pada 2010 yang berharga kira-kira USD 6 Juta dan pada masa yang sama Kerajaan Kelantan turut membeli bangunan yang serupa dengan nilai USD 3 juta.
Ahmad Nidzam berkata, laporan itu dibuat selepas mendapati terdapat tiga fitnah terhadap Menteri Besar, pertama menerusi facebook Roslan Bin Abdullah, kedua menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada orang awam daripada nombor yang tidak dikenali dan ketiga menerusi Youtube yang memaparkan petikan ceramah Ambang Merdeka oleh ADUN PAS Bukit Payong, Mohamad Nor Hamzah.
Ceramah oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu itu yang dimuatnaik ke Youtube yang berdurasi 28 minit 40 saat dan menyentuh isu tersebut di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu pada 30 Ogos lalu.
“Fitnah dibuat terhadap Menteri Besar berkenaan pembelian asrama pelajar Mansurah di Mesir oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita sejurus membuat laporan itu.
Namun, walaupun dilaporkan ada pihak polis yang menyaiasat perkara tersebut, kes itu senyap sunyi tanpa sebarang tindakan yang diketahui umum.
Kira-kira lebih setahun selepas itu, bekas MB Dato’ Seri Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri 11 hingga 14hb Mei lalu, menimbulkan semua kes pembelian asrama tersebut.
Beliau ketika berucap membahas ucapan Tuanku as-Sultan 13hb Mei dengan jelas menyatakan bahawa telah berlaku penyelewengan dan penipuan dalam urusan pembelian bangunan di Mansourah untuk kegunaan pelajar oleh Yayasan Terengganu.
Bahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, dengan berani berakat, beliau bertanggung jawab atas dakwaan yang dibuat serta bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana pihak, membuat siasatan dan tindakan lanjut.
Ketika menjawab dakwaan Ahmad, ADUN Ajil Ghazali Taib telah menyatakan bahawa pembelian bangunan terbabit bukan dilakukan pada tahun 201 tetapi pada tahun 2009 dengan nilai USD 4.233juta (RM13 juta).
Kemudiannya, Ahmad Razif selaku MB menambah kenyataan itu bahawa pihak Yayasan Terengganu membeli bangunan tersebut daripada Syarikat Attal Group Companies.
Sehubungan itu, pada 17 Mei 2015, PAS Terengganu mengambil tindakan pro-aktif segera melaporkan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri terhadap satu skandal pembelian sebuah bangunan pada tahun 2009 di Mansourah, Mesir.
Bangunan tersebut bagi kegunaan asrama pelajar yang dibeli oleh Yayasan Terengganu (YT) milik kerajaan negeri dengan harga RM13 juta serta tidak munasabah.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata beliau menerima satu salinan dokumen pembelian dan perjanjian jual beli bangunan tersebut melalui kiriman pos.
Menurutnya, urusniaga pembelian bangunan tersebut bertempat di lot No.43/1108 di Kharnshafa Basin 11, Bahagian 2 No.50B, Jalan Mohamed Sabri, Jalan No.12/ Koreye Street/ Samy el Gamal, Mansoura, Daerah Dakahlia, Egypt seluas tanah 1.5 qirats i.e 262 meter persegi.
“Tanah dan bangunan itu dimiliki oleh Muhammad Ali Abu Shou’isha ID No.24504251500559 telah dijual kepada Mrs MervatMohamed Tawfiq al-Qaffas ID No.26104061500063 dengan harga dua juta EGP (RM1 juta).
“Mrs Mervat telah menjual pula kepada Jamil Hashim Mustafa, Pasport No. D31700250 yang mewakili pihak Kedutaan Malaysia di Cairo untuk menempatan pelajar Terengganu di Mansourah dengan harga dua juta EGP sahaja bertarikh 10 Oktober 2009.
“Jual beli itu juga ditandatangani oleh Ahmad Kamal Abdullah, Pasport No. R019251 sebagai saksi yang merupakan seorang kakitangan Yayasan Terengganu, yang bertugas di Mesir ketika itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyerahkan Laporan Salah Laku Kes Pembelian Bangunan di Mansourah, Mesir kepada Pegawai Siasatan SPRM jam 11.45 pagi di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu.
Selepas sebulan laporan SPRM dibuat, belum ada sebarang jawapan yang ditunggu oleh rakyat, dan apakah penjelasan yang diberikan oleh kerajaan negeri!










