Terengganu, Malaysia

Isu 1MDB, Tabung Haji : Biar Rakyat Hukum Najib – Presiden PAS

ustaz hadi1 (2)

KUALA TERENGGANU – PAS menyerahkan kepada rakyat bagi ‘menghukum’ parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang dibebani dengan pelbagai masalah skandal 1MDB dan Tabung Haji.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata negara ini mengamalkan pemerintahan secara demokrasi dan bukan dengan ‘diktator’.

Justeru, katanya segala permasalahan yang berlaku dalam pemerintahan negara menjadi tanggungjawab parti dan bukan semata-mata individu tertentu.

Menurutnya, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak juga perlu diberi tempoh hingga habis penggal bagi menyelesaikan segala masalah tersebut.

“Ya, saya suka (Najib) diberi peluang biar habis tempoh penggalnya (Perdana Menteri). Biar rakyat hukum dia (Najib). Itu pandangan sayalah, biar rakyat menghukum dia (BN).

ustaz hadi“Kita jika ada kelemahan, kita kena sebut. Kita (PAS) lebih berbentuk menasihati untuk mengislah dan menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Dewan Udangan Negeri Terengganu (DUN) ketika waktu rehat, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Persidangan DUN Terengganu

Ustaz Abdul Hadi menyifatkan setiap Perdana Menteri yang silih berganti sejak Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Dato’ Seri Najib mempunyai masalah masing-masing.

“Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa. Pada saya, supaya kita mengamalkan demokrasi ‘pulang’ kepada rakyat (buat keputusan). Rakyat untuk menghukum parti dan bukan menghukum orang.

“Jika kita kata Perdana Menteri sekarang dia punya masalah, yang dahulu juga ada masalah juga…Jadi seolah-olah kita hendak jadikan Melayu mudah lupa. Bukan Melayu sahaja yang mudah lupa tetapi MIC ada Maikal Holding, MCA ada masalah
Skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dan sebagainya,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan pemerintahan kerajaan Umno-BN dicemari dengan pelbagai skandal serta penyelewengan.

Antaranya, kata Dato’ Seri Abdul Hadi skandal PKFZ melibatkan RM12.7 bilion, kapal selam (RM500 juta), bail out Konsortium Perkapalan Berhd milik Mirzan Mahathir (RM1.7 bilion), kerugian Perwaja Steel (RM2.56 bilion), pembayaran ganti rugi pembatalan Jambatan Bengkok (RM257 juta) dan skandal Bank Bumiputera (BMF) RM3.2 bilion serta banyak lagi.

Menurutnya, senario politik yang berlaku dalam negara ini amat memalukan seolah-olah sengaja mengulangi kesilapan yang sama.

“Jadi satu budaya politik yang memalukan. Sepatutnya, kita amalkan demokrasi yang sihat, demokrasi yang sebaik-baiknya. Biar rakyat pilih parti, pilih Perdana Menteri.

“Jika salah…salahkan parti jangan salahkan orang. Sebab, kita bukannya negara ‘diktator’ yang memerintah itu orang tetapi yang memerintah hari ini parti.

“Siapa pun jadi pemimpin parti dan jika parti itu silap langkah, maka kena ambil tanggungjawablah. Itu cara yang sebaik-baiknya,” tegasnya.

Perkembangan terkini, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mendesak agar Dato’ Seri Najib segera berundur serta meletak jawatannya sebagai PM dan Presiden Umno.

https://youtu.be/3-j5o_2jFTM

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan