Oleh: Dr Azman Ibrahim
Kita tak punya banyak sumber kebendaan dalam perjuangan. Yang kita bawa adalah Islam dan kebenaran dengan harapan ianya mampu menyentuh hati pengundi. Sentuhan ini boleh mengundang simpati yang dizahirkan dalam bentuk sokongan. Jangan simpulkan pengundi Rompin dengan sebarang kata-kata yang kesat dan menyakitkan ekoran majoriti mereka masih memilih BN.
Meneliti keputusan – keputusan yang tiba dari saluran-saluran mengundi, saya melihat perkembangan yang sangat memberangsangkan dari saluran pengundi muda. BN mampu mengekalkan kemenangan. Tetapi majoritinya berkurangan hampir separuh. Suatu pengurangan yang sangat ketara. Generasi muda yang celik maklumat mula memberikan isyarat jelas akan pendirian mereka terhadap isu-isu negara. Suatu kedudukan yang merimaskan bagi Umno.


Peneroka Felda yang diugut dan disogok biasanya menjadi simpanan tetap parti dacing. Mereka diugut akan dibuang dari menjadi peneroka dan pelbagai ugutan lagi. Kemampuan memenangi 4 peti undi termasuk satu peti undi di Muadzam dan 2 peti undi di Felda Keratong adalah pencapaian hebat di sebalik segala mehnah dan tribulasi. PAS kehilangan sebahagian undi masyarakat Cina, tetapi digantikan oleh Allah dengan peningkatan undi masyarakat Melayu Felda.
Orang asal yang masih ketandusan maklumat dan pelbagai lagi pembaikian yang perlu dibuat. Masih ramai masyarakat orang asal yang berstatus tak beragama. Usaha dakwah perlu diperkasakan. Tentunya tanpa usaha dakwah dan mengajak mereka menganut agama kebenaran, mereka akan melihat nilai kehidupan ini dari sudut siapa yang banyak memberi. Banyak BN bagi, mereka akan pangkah BN.
Dalam pilihanraya, analisa mengambil kira kedua-dua data samada kita mampu meningkatkan undi parti kita atau mampu mengurangkan undi parti lawan. Dalam kes PRK Rompin, jumlah undi kepada PAS tak jauh berbeza berbanding dengan PRU 13, tetapi kita berjaya mengurangkan undi BN hampir 7,000. Ini sebenarnya satu pencapaian.
Kenapa BN hilang undi begitu banyak? Di sinilah perlunya analisa rapi. Padanya terdapat pelbagai kemungkinan kenapa pengundi BN dlm PRU 13 tidak mengundi BN dan tidak juga mengundi PAS. Bagaimana pula kita mampu menukar hampir 7,000 tadi dari pengundi yang tidak mengundi BN dan tak juga mengundi PAS kepada pengundi PAS?




























