BN Akan Hilang Undi Kerana GST

1284

Oleh KAM

ROMPIN – Umno dan Barisan Nasional (BN) bakal ‘kehilangan’ banyak undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin kali ini, akibat pelaksanaan Sistem Percukaian dan Perkhidmatan (GST) pada awal April lalu.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Puan Zaroni Othman berkata pelaksanaan cukai GST amat memberi kesan kepada rakyat terutama di kalangan kaum wanita.

Ini kerana, katanya cukai GST itu turut meningkatkan kos sara hidup rakyat dengan kenaikkan harga barangan pengguna.

Menurutnya, kaum wanita yang ditemui melalui kempen pilihan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rompin juga menolak GST.

“Mereka (kaum ibu) yang kami (Muslimat PAS) temui dari rumah ke rumah dalam kempen (pilihan raya ) ini. Mereka juga cukup marah dan tidak bersetuju dengan GST.

“Mereka (rakyat) terpaksa tambah kos sara hidup bulanan, sebab harga barang semuanya naik, jadi mahal dan kena tambah belanja.

“Kami (PAS) cuba terang dan jelaskan kesan dari GST kepada rakyat dan nampaknya mereka faham dan marah,” ujarnya ketika ditemui Harakah di lokasi Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri, Kuala Rompin, pagi tadi.

Namun, katanya majoriti rakyat yang tidak bersetuju itu termasuk di kalangan ahli dan penyokong Umno-BN tidak berani menyatakan bantahan secara terbuka.

kam(a)-rompin1Seorang pengundi tempatan, Puan Ghalizah Ab. Ghani, 53, dari Kampung Sungai Puteri mengesahkan bantahan pengundi di Dun Rompin mengenai isu cukai GST.

Katanya, bantahan terhadap cukai GST cukup difahami oleh golongan muda dan pertengahan kecuali di kalangan warga emas serta orang asal.

“Saya orang tempatan dan pengundi di Dun Rompin ini, saya tahu rakyat (pengundi) amat tidak bersetuju dan bantah cukai GST ini.

“Orang muda, (orang) peringkat pertengahan…mereka cukup faham dan terasa beban dari GST yang baharu dikenakan kepada rakyat ini. Kecuali, orang warga emas (tua) dan orang asal (Asli) macam kurang faham sikit,” jelasnya.

Beliau yang ditemui Harakah selepas membuang undi di Pusat Mengundi SK Sungai Puteri itu mendakwa Umno-BN akan kehilangan undi rakyat dengan GST.

Menurutnya, kempen selama 10 hari di PRK Rompin ini mendapati reaksi rakyat akan membuat proses secara senyap.

kam(b)-rompin2Seorang lagi warga emas dan pengundi tempatan, Encik Sulong Abdullah, 84, turut membantah GST setelah mendapat penjelasan dari kempen pilihan raya.

“Dulu (sebelum ini) Pok Long tak tahu apa-apa pun GST ini, orang (kerajaan) kata elok (baik), kita (rakyat) kata baiklah. Tapi, bila ada orang beritahu hal sebenar (GST)… Pok Long tak setuju.

“Sebab, kerana cukai (GST) itu harga barang jadi mahal. Kami (rakyat) yang susah jadi semakin susahlah,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau yang berasal dari Terengganu telah berhijrah ke Rompin, Pahang ini sejak tahun 1945 lagi dan kini mempunyai 12 orang anak, belasan cucu dan beberapa orang cicit.

Ketika ditanya, siapakah calon pilihan Pok Long pada PRK Rompin kali ini, beliau berkata itu adalah ‘rahsia’ dan pengundi yang bijak adalah rakyat yang bebas merdeka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS Marang, Puan Wan Mariam Wan Jusoh, 56, berkata para pengundi di Unit Peti Undi (UPU) Kuala Rompin mudah didekatinya.

“Mereka (pengundi) di UPU Kuala Rompin dan lain-lain juga mudah didekati dan berfikiran terbuka tanpa mengira fahaman parti politik.

“Kerja (kempen) kami (muslimat) semua jadi lebih mudah dan tidak susah untuk menerangan kepada para pengundi di sini (Rompin). Bila (bawa) isu GST, harga barang naik dan hudud, mereka boleh terima,” ujarnya.

Menurutnya, kerja kempen muslimat PAS setiap hari membuat culaan serta melakukan ziarah dari rumah ke rumah.

Harakah dimaklumkan, kontijen PAS Terengganu diamanahkan bagi membantu gerak kerja pilihan raya di Dun Rompin sejak hari penamaan calon hingga hari mengundinya.