Terengganu, Malaysia

PRK Rompin ; Empat Nama Disenarai Sebagai Calon

PRK Rompin ; Empat Nama Disenarai Sebagai Calon

KUALA TERENGGANU – Empat nama telah disenaraikan dikalangan pemimpin PAS sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei depan.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia akan diputuskan oleh parti sebelum pengumuman calon yang akan dibuat pada sebelah malam, 20 April ini.

IMG-20150418-WA0110 (2)Katanya, calon yang dipilih akan disokong oleh Majlis Syura terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Setakat ini ada empat pencalonan dan parti akan putuskan nanti sebab dalam Pas ini Majlis Syura akan ‘endorse’ dulu baru kita boleh umum. Selagi Majlis syura tidak putus kita tidak boleh umum,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai, di sini pada Sabtu 18 April.

Pesuruhjaya PAS Pahang dan juga Pengarah Jawatankuasa PAS bagi PRK Rompin itu memberitahu wujud perubahan sokongan di kalangan pengundi berdasarkan perkembangan semasa ketika ini.

Antaranya beliau memberitahu isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta bebanan ekonomi yang meningkat dilihat cukup memberi kesan kepada pengundi.

Beliau turut mendakwa Rompin merupakan sebuah daerah terbiar dan melihat isu itu boleh dibawa dalam kempen PRK Rompin.

IMG-20150418-WA0118 (2)“Dibandingkan dengan Langkawi, (Pulau Tioman) jauh (ketinggalan) walaupun diisytiharkan bebas cukai tetapi penduduk tidak dapat manfaat dengan pengisian tersebut, begitu juga tiada usaha (untuk mengangkat) sebagai sebuah destinasi yang baik walaupun ia (tersenarai) 10 buah tercantik dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu PKR tidak akan meletakkan calon di kerusi tersebut sambil memberitahu parti tersebut juga bersedia untuk membantu memastikan kemenangan calon Pas di kawasan kubu kuat BN itu.

PRK Rompin diadakan 5 Mei berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

https://youtu.be/bl54yH8_aUA

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan