KUALA NERUS – PAS Kawasan Kuala Nerus merasa amat kesal dan dukacita terhadap kenyataan Pengerusi DAP Terengganu Ng Chai Hing yang mengambil sikap untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Oleh itu, Yang DiPertuanya Hj. M.Shukrimun Shamsuddin menyatakan hasrat, PAS Kawasan Kuala Nerus tidak lagi berhasrat untuk bekerjasama dengan DAP Pusat dan Negeri.
“DAP Terengganu mengambil sikap untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dengan menyebut Bil Persendirian yang bakal dibentang di Parlimen sebagai alasan.
“memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dalam masa yang sama meneruskan kerjasama dengan Parti PAS dan ahli-ahlinya adalah tidak ubah seperti mengajak ahli-ahli Pas untuk memutuskan juga hubungan dengan Presidennya,”ujarnya dalam satu kenyataan semalam, Rabu 1 April.
Penegasan Shukrimun, yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, adalah ekoran kenyataan Ng Chai Hing yang disiarkan di dalam Sinar Harian berhubung status hubungannya dengan PAS Terengganu.
Beliau turut memberi ingatan, adalah ‘haram’ bagi PAS Kawasan Kuala Nerus untuk tidak menyokong sebarang usaha bagi meninggikan Syari’at Allah di muka bumi ini.
Oleh yang demikian, katanya, PAS Kawasan Kuala Nerus menyokong penuh usaha Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, untuk meneruskan hasrat membentangkan Bil Persendirian tersebut di Parlimen apabila tiba masanya.
Beliau memberi perumpamaan, Presiden PAS adalah ‘ayah’ dan menyifatkan mana-mana pihak dalam PAS yang memutuskan hubungan dengan ‘ayah’ adalah bersikap kurang ajar.
“PAS Kawasan Kuala Nerus menganggap, sekiranya mana-mana anggota keluarga yang meneruskan kerjasama dengan musuh ayah yang menentang pendirian ayah yang didokong oleh semua anggota keluarga adalah bersikap kurang ajar dengan ayahnya,
“Maka dengan ini dimaklumkan bahawa PAS Kawasan Kuala Nerus tidak lagi berhasrat untuk bekerjasama dengan DAP Pusat dan Negeri,”tambahnya










