Bukan Lim Guan Eng Yang Menentukan Maruah Saya – Ustaz Hadi

1126

MARANG – PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu akan tetap meneruskan niat melaksanakan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah di Kelantan walaupun ia mendapat tentangan hebat.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan ‘isyarat’ yang sangat jelas bahawa PAS tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak bagi meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan hudud, di Parlimen.

Amaran juga ditujukan kepada DAP yang disifatkan sebagai tidak bermaruah dan tidak jujur berikutan tindakan Ustaz Abdul Hadi yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

DAP juga sekali lagi diingatkan agar tidak mengganggu urusan orang Islam, yang masih menjadi majoriti dalam negara ini.

Serangan daripada Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng (LGE) itu disifatkan Ustaz Abdul Hadi hanya sebagai serangan menggunakan ‘peluru kosong’ malah tidak mengenai sasaran.

IMG_20150328_064907“Saya menggangap (serangan) itu (menggunakan) peluru kosong tak kena sasaran pun. Sebabnya PAS mengambil kira semua kaum yang ada di Malaysia bukan satu kaum.

“DAP nampaknya ambil satu kaum sahaja, orang bukan Islam. Dia tidak ambil hati orang-orang Islam ini yang merupakan 60 peratus penduduk.

“Dia (LGE) kena sedar dan orang Islam jangan diapa-apakan kedudukan mereka di mana usaha yang kita bawa ini tidak menyentuh orang bukan Islam,

“mengapa dia menimbulkan isu ini, ini berkait dengan orang Islam, bukan berkait dengan orang bukan islam.

“Kita dahulukan orang Islam dahulu dalam aspek-aspek dan ruang-ruang yang bolehkan kita laksanakan syariah untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam, mereka yang bukan Islam supaya ia menjadi contoh.

“Adakah dia takut kerana kita mahu tunjukkan apa dia Islam……..Jangan takut,” katanya dalam satu sidang media diadakan di kediamannya di Kampung Rusila di sini, semalam, Jumaat 27 Mac.

Ustaz Abdul Hadi dalam masa sama turut membidas kenyataan Lim Guan Eng yang menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak bermaruah kerana maruah dirinya tidak terletak di tangan pemimpin juga Setiausaha Agung DAP itu.

“Yang menentukan maruah saya bukan dia (LGE). Yang menentukan maruah saya adalah rakyat. Alhamdulillah saya dapat menentukan maruah saya dengan Islam. Pegangan saya dengan Islam,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga memaklumkan bahawa kerjasama dan persefahaman semua pihak dalam PR selama ini adalah bergantung sepenuhnya kepada perlembangaan parti masing-masing.

“Di mana dalam persafahaman ini kita telah bersetuju bahawa masing-masing ada dasar dan matlamat parti masing-masing, kerjasama kita dalam titik persamaan untuk membuat perubahan dalam kebersamaan.

https://youtu.be/38Tex62TtJU?list=UUHUY6hxgBZ0oRyY28yPJk8Q

“Bagi perkara berbeza kita sudah ada perjanjian bersama yang dibuat dan ditandatangani oleh saya, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yang telah kita menerima hakikat bahawa DAP untuk tidak bersetuju. Kita menerima hakikat.

“Saya mengatakan apa yang saya bawa ini adalah untuk orang Islam tidak berkait dengan orang bukan Islam, tak perlu dia melenting bahkan ‘di sana’ ada beberapa perkara dikemukakan yang melibatkan orang Islam juga. Iaitu pilihanraya PBT.

“Itu yang dikemukakan. Kita tidak bercakap tentang dia. Tapi dia kemukakan dalam Dewan Negeri Pulau Pinang. Kemukakan pula di Selangor. Selangor ini PKR.

“PAS mengambil kira dengan dasar dan matlamat kepimpinan Pas walaupun kita kerjasama dengan pihak lain dan kita tidak oportunis dan kita tidak berjuang untuk memperjuangkan kepentingan kaum-kaum tertentu.

“DAP, dia berjuang untuk kaum-kaum tertentu dan ada rakan kita yang oportunis dan kita (Pas) tidak, kita tegas dengan masalah (hudud) ini. Kalau orang mahu sokong (PAS) boleh sokong, kalau orang tidak mahu sokong silakan..,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menegaskan bahawa tanpa sokongan DAP, PAS masih mempunyai sokongan daripada mereka yang bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditubuhkan oleh parti berkenaan.