Kewajipan PAS Membentangkan Usul ‘Hudud’ Ke Parlimen

1223

KUALA TERENGGANU – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan dua parti rakan dalam Pakatan Rakyat PKR dan DAP menyatakan tidak akan menyokong Usul Hudud yang bakal dibawa ke parlimen sebagai suatu perkara biasa dalam sistem demokrasi.

hadi awang 4Beliau berkata, sama ada usul persendirian yang dikemukakan oleh PAS akan dibentang di parlimen atau sebaliknya dan bilakah masa pembentangan itu, adalah terpulang kepada keputusan Yang DiPertua Dewan Rakyat.

Menurutnya, PAS sudah menunaikan kewajipan untuk membawa usul tersebut.

“Itu keputusan speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat), bukan (YB) Nancy (Binti Haji Shukri)……Speaker yang memutuskan semuanya. Sama ada bahas ke apa, (adalah keputusan) speaker. Kita tunggu keputusan speaker.

“Itu kita lihat dahulu, kita tak boleh buat satu kenyataan yang belum pasti. Itu (ia) mengikut peraturan dewan, speaker bolehmembuat (gunakan) budi bicara,”katanya ketika memberi komen tentang kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Yb Puan Hajah Nancy Binti Haji Shukri.

Menurutnya, dalam demokrasi sesuatu parti politik termasuk Umno dan Barisan Nasional pun ada pandangan yang berbeza, bukan hanya parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

hadi awang3Beliau menjelaskan, PAS kemukakan Usul Persendirian bagi meminda Akta 355 dibawah peruntukan 76A (1) Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut lunas dan saluran demokrasi.

Bahkan, kata beliau, usaha tersebut dimulakan sejak tahun 50-an lagi dan telah dibincangkan dengan semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat.

“yang penting kita kemukakan undang-undang ini secara demokrasi………bermula tahun 50-an lagi. Kita tak kemuka (terus)……..kita bincang dulu secara ilmu, sehingga PAS masuk Barisan Nasional tahun 1970 – 1974 (melalui) kerajaan campuran, kita kemukakan secara ilmiah, secara akademik.

“Pada tahun 1993, barulah kita bawa dalm Dewan Undangan Negeri Kelantan (sebelum itu) kita adakan (satu) Seminar di Kuala Lumpur. Kita panggil NGO Islam, parti-parti politik, NGO bukan Islam…..bahkan kita terima kunjungan NGO hak asasi manusia dari luar negara.

“Kita bagi penjelesaian pada mereka dan semua soalan-soalan (yang dikemukakan) kita kumpul……apa (yang termasuk) perkara dasar kita tetap (kan) perkara cabang yang boleh diambil kira, kita buat perubahan mengikut keadaan semasa,”jelasnya.

Hadi awang1Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita pada sidang media selepas acara Pidato Kemuncak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3 di Marang, Sabtu malam, 21 Mac.

Beliau menafikan Pakatan Rakyat tidak dimaklumkan tentang usaha PAS memertabatkan Undang-undang Islam itu khususnya di Kelantan.

Katanya, Pakatan Rakyat pernah membuat satu kenyataan bersama pada tahun 2011, yang ditandatangani oleh beliau, Lim Kit Siang dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat menerima hakikat perlaksanaan syariah Islam itu adalah hak negeri Kelantan.

Kenyataan bersama tersebut, katanya, bersepakat memberi ruang kepada DAP untuk tidak bersetuju kerana ia adalah hak DAP untuk tidak bersetuju.

“(pada tahun) 2011……..ada kenyataan, balik (boleh rujuk) kenyataan itu……….bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree).

“Kita bukan ‘Melayu yang mudah lupa’ (tapi) Kita Melayu yang tidak lupa, orang Islam yang tidak lupa…….(meminjam kata-kata hikmat Dr Mahathir),”tegas beliau.

Oleh itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mengikuti perkembangan serta bersabar, ‘tunggu dan lihat’ terhadap perkembangan Usul yang akan dibawa ke parlimen itu.

“Kewajipan kita membentang (Usul tersebut) setuju tak setuju……tunggu dan lihat,”tambahnya.

https://youtu.be/PKePcyjHDLs?list=UUHUY6hxgBZ0oRyY28yPJk8Q