Oleh : KAM
MARANG – Umat Islam dari pelbagai latar belakang fahaman semua mazhab termasuk Sunni, Syiah dan Khawarij diminta bersatu bagi menyelamatkan Baitul Maqdis.
Naib Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Malaysia sebuah negara kecil mengemukakan slogan “wal-qudsa” (Selamatkan Baitul Maqdis).
Ini kerana, kata beliau Baitul Maqdis menjadi syiar yang dapat menyatukan orang Islam di seluruh dunia.


“Kita (gerakan Islam) cuba secara kerdil di Malaysia sebagai sebuah negara kecil mengemukakan slogan “wal-qudsa” (selamatkan Baitul Maqdis). Baitul Maqdis menjadi syiar yang menyatukan orang Islam.
“Semua mazhab sama ada sunni, syiah, khawarij sayang kepada Baitul Maqdis. Semua kaum orang Islam yang alim, yang jahil sayangkan Baitul Maqdis, tanpa kita melupai orang Islam yang ditindas di seluruh dunia.
“Selamatkan Baitul Maqdis. Mengapa?..kerana untuk mengambil berkat daripada seruan yang pernah diucapkan oleh generasi awal. Di zaman kejatuhan Palestin ke tangan tentera salib, zaman ancaman monghul dan tartar. Zaman negeri orang Islam didatangi oleh tentera salib. Slogan yang diucapkan di masa itu membangkitkan semula umat Islam,” tegasnya.
Beliau yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3, di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang pada Jumaat 20 Mac.
Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi, turut mengajak umat Islam seluruhnya untuk memadamkan fitnah ‘Islamfobia’ tajaan barat.


“Kita (umat Islam) perlu memadamkan Islamfobia yang dianjurkan oleh barat, yang menggambarkan Islam dengan gambaran yang salah. Tidak melihat pada hakikat ajaran Islam itu sendiri.
“Hanya melihat kepada pemimpin-pemimpin negara yang mewarisi zaman penjajahan. Yang memerintah tidak mengikut syariat Islam. Kita wajib memelihara semula akhlak Islam yang masih terpelihara di kalangan umat Islam,” ujarnya di hadapan puluhan ribu hadirin
Namun, katanya kesan dari akhlak Islam itu masih dipelihara di kalangan umat Islam yang memahami ajaran tersebut.
Kata beliau, lihat kepada orang-orang bukan Islam di rantau Asia Tenggara seperti di Indonesia dan Malaysia yang majoritinya orang Islam.
“Sila lihat orang-orang bukan Islam di rantau Asia Tenggara. Di Indonesia, di Malaysia negeri yang majoriti orang Islam. Orang Budha, orang Hindu, orang Kristian boleh berkedai di tengah-tengah masyarakat Islam.
“Ini akhlak yang diajar oleh Islam, yang dipelihara orang Islam hingga ke hari ini. Di mana orang bukan Islam boleh hidup di kampung orang Islam.
“Kita pun mewarisi akhlak ini tetapi akhlak ini tidak mungkin dipanjangkan dengan berkesan melainkan dengan mendaulatkan Islam memerintah negara,” jelasnya.





























