Tok Guru……… Satu Dalam Sejarah

954

Oleh: Dr Azman Ibrahim

12 Februari 2015, hari yang teramat menyentuh hati. 12 Februari adalah ulangtahun as Syahid Hassan al Banna terbunuh syahid di hujung senjata pemerintah Mesir. Ditembak dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga akhirnya Imam Mujaddid ini pergi mengadap penciptanya sebagai syuhada.

Dari awal pagi 12 Februari 2015, saya mendapat khabar melalui kawan-kawan doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia tentang perkembangan kesihatan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan.

Telah berminggu-minggu Tuan Guru di hospital. Perkembangan kesihatan beliau saya ikuti secara diam dari jauh. Doa saya panjatkan kehadhrat Allah semoga Allah mengurniakan kepada Tuan Guru apa yang terbaik baginya dalam ilmu Allah.
Menjelang lewat petang 12 Februari, sekali lagi saya menerima khabar duka berkenaan perkembangan kesihatan Tuan Guru yang semakin menurun dan menurun…

Ada perkhabaran diterima, keluarga terdekat merancang untuk membawa pulang Tuan Guru yang berada dalam keadaan tak sedarkan diri ke rumah. Ya Allah! Hati kecil saya merasakan saat-saat perpisahan untuk selamanya di dunia ini dengan murabbi ummat yang dikasihi semakin hampir.

20150213_091702 (4)Detik demi detik saya mengikuti perkembangan dan dimaklumkan bahawa Tuan Guru telah dibawa pulang dari hospital dengan ambulan diiringi beberapa orang doktor pakar.

Janji Allah kepada setiap yang bernyawa akhirnya berlaku kepada Tuan Guru. Sahabat saya Asyraf, salah seorang menantu Tuan Guru memaklumkan bahawa Tuan Guru telah kembali menemui penciptanya kira-kira pada jam 9:40 malam. Kita datang dari Allah dan kepada Allah kita kembali…

Menerima perkhabaran yang bagaikan satu beban berat menghempas kepala, jiwa saya terasa kosong. Hakikat perasaan kehilangan yang sukar diungkap dengan susunan tulisan.

Selepas solat subuh, saya terus menapak dengan berjalan kaki dari teratak saya di Kubang Kerian ke Pulau Melaka. Melangkah dan terus melangkah. Tanpa saya membawa sebarang kenderaan, Sekurang-kurangnya ia telah menyumbang mengurangkan kesesakan untuk 1 kereta. Perkiraan saya ringkas dan mudah. Yang penting jasad kerdil ini perlu ada bersama mengiringi perjalanan terakhir Tuan Guru.

Diriku adalah antara jutaan pejuang Islam yang memulakan hari ini, 13 Februari 2015 dengan deraian air mata dan rasa kehilangan yang amat sangat.

Hanya dengan satu tekad, wasiat Sang Murabbi supaya perjuangannya diteruskan akan ditunaikan!

Sekalipun tidak dapat menatap wajah Almarhum Tok Guru buat kali yang terakhir hari ini, saya puas hati.
Dari kegelapan pagi hari lagi, saya telah keluar berjalan kaki sejauh lebih kurang 5km dari Kubang Kerian ke Pulau Melaka.

Tetapi lantaran kehadiran manusia yang terlalu ramai dan dengan ruang masa yang agak terhad, mata saya tak sempat menjamah wajah bersih Tok Guru untuk kesekian kali di dunia ini. Tak apa… dengan rahmat dan izin Allah, saya berdoa supaya dipertemukan semula di syurga nanti.

Selesai solat jenazah, dengan linangan air mata, saya melangkah meninggalkan Pulau Melaka, berjalan pulang sejauh 5km lagi.

Di sinilah, di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, selepas solat subuh, saya selalu mengutip mutiara-mutiara berharga dalam tazkirah Tok Guru.

Tentunya saat-saat ini akan dikenang dan dirindui sampai akhir hayat. Tok Guru tak kenal saya. Saya hanyalah seorang anak yang baru bertatih dalam perjuangan ini. Belajar erti ketabahan dan kesabaran serta istiqamah dalam perjuangan dari seorang Tok Guru sambil bersila di satu sudut Masjid Pulau Melaka.

Tok Guru bukan satu dalam sejuta. Tetapi Tok Guru seorang dalam sejarah yang terukir…