Oleh : Dr Azman Ibrahim
Menyemai pemikiran media di kalangan pemimpin dan penggerak parti adalah suatu cabaran besar. Hanya peratusan kecil dari mereka yang menyedari akan kepentingan media serta memanfaatkannya secara optimum. Masih terlalu ramai yang memandang media dengan sebelah mata serta tidak mempunyai kemahiran untuk berinteraksi dengan penggiat media secara yang sepatutnya.
Biasa saja kawan-kawan media mengadu, pimpinan parti sukar untuk nak jawab telefon apabila komen mereka diperlukan dengan segera atas sesuatu isu berbangkit. Ada yang angkat telefon tetapi tak bersedia untuk memberikan ulasan lalu diminta wartawan supaya telefon semula. Bila ditelefon semula, terus tak diangkat. Ramai juga yang tak tahu nak jawab soalan wartawan dengan baik sehingga membuka ruang untuk dimanipulasi seluasnya.
Ramai juga yang tawadu’ tak bertempat. Tak apalah… kita tak payah heboh-heboh program kita. Allah tahu apa yang kita buat.
Dalam mana-mana majlis anjuran parti, penganjur biasanya mengambil kira soal makan minum penceramah, tempat rehat dan sedikit duit minyak. Tetapi amat sedikit yang bertanya khabar, petugas media parti macam mana? Makan minum mereka, minyak kereta mereka dan sebagainya lagi.
Sebagai Pengerusi KAMI, saya mengajak rakan-rakan media untuk mengambil semangat dari ucapan Tuan Guru Presiden PAS sempena Majlis Makan Malam Amal Media di NR Café, Kuala Nerus. Antaranya Tuan Guru Presiden menyatakan bahawa besar pahalanya bagi mereka yang memainkan peranan sebagai penyebar berita yang benar sebagaimana besar juga dosa bagi mereka yang menyebar berita palsu dengan tujuan menyebarkan fitnah.
Saya melihat antara kejayaan terbesar Majlis Makan Malam Amal Media ini, disamping tercapainya objektif untuk pencarian dana bagi menampung segala perjalanan aktiviti media dalam dan luar negara, di sini juga peluang untuk membuka mata paling kurang seramai 200 orang tetamu pada malam semalam bahawa dalam parti wujud satu kelompok pejuang yang dinamakan petugas media. Bila mereka turut menyumbang bermakna mereka turut menghargai dan cuba memahami denyut nadi kita sebagai insan media.
Dengan kejayaan program yang telah kita rancang selama lebih kurang 2 tahun lalu lagi, dengan izin Allah program ini akan menjadi calendar tahunan KAMI. Terima kasih dan penghargaan dari pihak KAMI kepada semua yang terlibat samada yang telah menyumbangkan tenaga, masa, wang ringgit dan buah fikiran demi menjayakan acara yang besar ini. Terima kasih khusus kepada pihak pengurusan dan semua staf NR Café Tok Jembal atas penyedian tempat dan hidangan menu istimewa malam semalam.
Akhir sekali penghargaan kepada pimpinan-pimpinan yang dapat meluangkan masa untuk hadir. Dato’ Seri Tuan Guru Presiden, YB Dr Alias Razak, YB Ust Mohd Noor Hamzah, YB Haji Mohamad Abdul Wahid Endut serta semua pimpinan dan penyumbang-penyumbang yang saya tak nyatakan nama-nama mereka di sini.
Semoga Allah menganjari segalanya dengan sebaik-baik ganjaran.
Dr Azman Ibrahim Adalah Pengeruis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu






























