Oleh : SMN
Tidak ada konsep atau pun pegangan liberal dalam Islam, tapi yang ada adalah ‘bertolak ansur’ dan ‘berlapang dada’.
Justeru dalam PAS, sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tidak ada ahlinya yang berfahaman liberal, melainkan Islam semuanya.
Ada pihak yang mempunyai maksud tertentu, sekian lama cuba mengaburkan pandangan dan mengendurkan pegangan ahli-ahli PAS daripada sikap tolak ansur dan ‘berlapang dada’ yang menjadi amalan Islam.
Mereka menggantikan dalam ‘konotasi’ mereka, menggelar ahli-ahli PAS bahkan orang-orang yang berpegang kuat dengan Islam, sebagai ekstrimis dan fanatik.
Sedang dalam Islam tidak ada kedua-dua ‘lebel’ itu, tetapi yang ada adalah wala’ dan ‘thiqah’.
Samada golongan yang sering menerbitkan sensasi di ruang maya atau didada ‘koran’ bercetak, tidak mahu faham atau pun bebal, saya nyatakan sejelas-jelasnya, Islam itu Islam dan demokrasi itu dari cabang pemikiran diluar Islam.
Tetapi mungkin ada nilai-nilai persamaan yang boleh dijalinkan antara Islam dan demokrasi, lalu para ulamak menerima pakai sistem demokrasi, bukan ‘beriman’ dengannya.


Oleh itu lupakan segala macam tohmahan dan fitnah serta percubaan untuk menggilap suhu nafsu diri sendiri dan menerima adu domba yang mengatakan ada kumpulan yang digelar ‘erdogan’ dalam PAS.
Tidak ada juga kumpulan yang ‘progresif’dan ‘agresif’ di kalangan ahli-ahli PAS.
Semua ahli PAS adalah progresif dan semua ahli PAS adalah agresif dalam menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Itu adalah tonggak terkandung dalam Islam yang dijadikan satu dasar dalam perlembagaan PAS sendiri.
Dalam semua organisasi, apa sahaja bentuknya, samada kerajaan atau bukan kerajaan, parti politik atau ‘parti tupperware’, menjadi kemestian kepada ahli-ahlinya patuh dan taat kepada ketua.
Ketua kepada parti PAS adalah Presidennya sekarang ini Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Itu adalah sangat ‘basic’ yang mudah difahami oleh semua orang, semenjak menjejakkan kaki ke darjah satu di sekolah rendah pun, kita semua perlu taat kepada ketua kelas.
Namun teguran boleh sangat dan amat diperlukan untuk menyokong sesebuah kepimpinan itu, bagi membina organisasi mencapai matlamat yang lebih tinggi.
Arus media baru yang ‘sedikit senget’ meniupkan pemikiran bahawa yang menyokong Presiden PAS tidak progresif dan tidak ‘erdogan’.
Bahkan ‘poratal-portal berita’ itu kononnya menjulang mereka yang bukan Ustaz yang dianggap sebagai liberal dan progresif.
Saya adalah ahli PAS, seorang wartawan dan bukan Ustaz, tapi saya adalah muslim bukan konservatif dan bukan liberal!






























