Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor
Kepelbagaian etnik dengan kerencaman demografi, juga geografinya yang sangat besar adalah peluang untuk dakwah Islam dikembangkan di negeri bawah bayu ini. Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963 setelah refendum menyertai Malaysia mendapat suara majoriti. Negeri Borneo ini mendapat perhatian misionari kristian semenjak awal abad 19, dengan bersalut imej kebajikan, pertubuhan kristian telah menjalankan gerakerja melebarkan pengaruh kristian semaksima mungkin.
Sabah mempunyai 30 lebih etnik, bahasa yang digunakan sebanyak 50 dan 90 bahasa dialek, semua ini melambangkan kerencaman masyarakat negeri bawah bayu. Islam mula menyapa negeri ini dalam abad ke 13 serta dianggarkan pada abad ke 10 para pendakwah Islam telah sampai ke Sabah. Etnik Cina tiba di negeri ini untuk menggerakkan ekonomi komersial dibawah payungan kolonial Barat dan kini membentuk jumlah 9.2 peratus dalam komuniti rakyat Sabah (2010). Kebanyakan etnik Cina beragama kristian dan juga Buddha serta menghuni dikawasan bandar dan sub bandar.
Etnik yang majoriti beragama Islam ialah bugis, tidung, banjar, jawa, Bajau, kokos , Suluk dan lain- lain. Usaha pendakwahan telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh di zaman Tun Mustapha, Dato Haris Salleh, Tun Sakaran Haji Dandai, Tun Said Keruak, serta tokoh-tokoh masyarakat yang lain. Antara NGO yang aktif pada satu ketika dahulu ialah USIA (United Sabah Islamic Asociation), juga badan kebajikan Islam dibawah badan agama negeri Sabah. Al arqam juga dikesan dalam dekad 1980an mengembangkan usaha-usaha menyebarkan Islam di Sabah.
Di awal dekad 1990an gerakan jaringan sivil seperti ABIM melalui outreach ABIM juga melakukan usaha pendakwahan, manakala PAS yang mula aktif dilapangan dakwah Sabah pada awal 90an. Antara tokoh Pas Sabah ialah Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Mohamad Husain, Hamzah Abdullah, Hasan Aladi, Haji Mohamad Abdullah serta ramai lagi para asatizah termasuk kalangan guru-guru dari Semenanjung Malaysia.
PAS dalam usahanya memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat Sabah, telah menggerakkan usaha secara terancang dalam menggerakkan pendidikan Islam. Bermula dengan pendidikan pra sekolah iaitu PASTI, sehingga kanak-kanak bukan Islam juga diterima menjadi pelajar. Seterusnya berkembang dengan banyak sekolah rendah Islam serta penubuhan pondok moden seperti madrasah al Hidayah Tawau, Madrasah fi Zilalil Quran Kota Belud serta jaringan pendidikan Islam yang lain. Kini ramai anak Sabah yang pulang daripada pusat pengajian Islam yang terlibat secara aktif dalam usaha pendidikan Islam dan pendakwahan.
CABARAN DAKWAH
Sabah dengan keluasan petanya, memerlukan dana yang besar untuk mobilisasi dan juga pembiayaan gerakan pencerahan ilmu terutama kepada para mualaf dan penduduk pedalaman. Negeri ini juga kaya dengan pulau-pulau yang cantik tetapi terpencil daripada kesedaran Islam , seperti Pulau Mabul, Pulau Selakan, Pulau Mantahani. Berbeza dengan misionari kristian , dengan dana yang besar mereka merambah ke kawasan pedalaman dan juga pulau terpencil Sabah. Gerakan kristian juga mendapat dokongan yang kuat daripada tokoh-tokoh politik kristian Sabah, terutama daripada Parti PBS.
Malang sekali masyarakat Muslim di Sabah kerana menerima kehadiran UMNO,yang turut membawa budaya parti kampungan Semenanjung apabila kerja-kerja menghalang majlis ilmu di masjid surau di negeri ini tak ubah fenomena UMMO Semenanjung dalam dekad 80an. Tak menjadi rahsia, kerja menghalang ini sinonim dengan UMNO, sehingga program ilmu terpaksa dibatalkan atau berubah lokasi akibat gangguan yang konsisten. Rakyat Sabah dijamu dengan budaya hiburan melampau serta dijahilkan dengan sistematik, malah lebih parah lagi dengan isu murtad yang rancak di negeri ini.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)











