KUALA TERENGGANU – Walaupun selaku anak muda dan wanita Islam merasa malu dan kecewa dengan tingkah laku yang dipamerkan oleh mereka pada konsert K-Pop di ibu negara baru-baru ini, namun masyarakat tidak boleh meletakkan kesalahan ‘penuh’ kepada mereka.
Pengerusi Ameerah Negeri Terengganu Zuraida Md Noor menyifatkan, ia adalah natijah dari budaya ‘hedonisme’ yang telah disumbat ke dalam jiwa anak-ansk muda selama ini.
Beliau berpendapat, anak-anak muda yang melakukan perbuatan ‘berpeluk dan bercium’ dengan artis Korea itu terperangkap dengan acuan persekitaran mereka.
“Malu, kecewa dan sedih………sebenarnya tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan umat Islam………kejadian di konsert K-pop itu adalah natijah dari budaya hedonisme yang disumbat di jiwa anak muda selama ini.
“Anak muda tidak patut disalahkan sepenuhnya. Mereka terperangkap dalam acuan yang dibina oleh ibu bapa mereka………terperangkap dalam model yang disemat oleh persekitaran. Mungkin inilah manifestasi hiburan tanpa sempadan,”ujarnya.
Menurutnya, dengan peristiwa itu, pakaian yang menjadi seragam seorang wanita Muslim sudah menjadi fitnah.
Oleh itu, menurut kenyataan beliau kepada pihak media, Ameerah Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya kejadian dan penganjuran konsert K-pop tersebut.
“(kita) meminta Kementerian Penerangan Malaysia menapis semua konsert yang diadakan di negara ini. Kerajaan yang berkuasa sepatutnya menyediakan platform hiburan yang dapat mendidik dan membina jati diri dan sahsiah anak muda ke arah yang lebih mulia.”tegas beliau.
Zuraida memberi peringatan, Islam memberi amaran kepada mana-mana pemimpin yang tidak menguruskan hal ehwal muslim dengan baik.
Menurut beliau, Perdana Menteri adalah orang Islam dan Mentei Penerangan juga adalah seorang Muslim, sepatutnya dapat mengelakkan perkara tersebut dari berlaku.
“mana-mana pemimpin mengetahui urusan orang Islam kemudian dia tidak bersungguh- sungguh menjalankan tugasannya dan tidak menasihati mereka; melainkan tidak masuk syurga bersama-sama mereka (maksud hadis),
“(tindakan perlu diambil) untuk mengelakkan perkara seumpama ini daripada berlaku kembali. Saranan ini adalah kerana remaja (terbabit) dilihat gagal (sama sekali) untuk mengawal diri apabila berhadapan artis-artis yang mereka minati,”jelas beliau.










