KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu digesa mengutamakan pemberian tanah dan rumah kepada rakyat tempatan dan anak negeri Terengganu yang menghadapi musibah banjir serta ombak besar.
Oleh itu, PAS menjemput Menteri Besar (MB) Terengganu Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman untuk melawat kawasan Kuala Paka dan Kuala Kemaman untuk melihat sendiri rakyat yang kehilangan rumah akibat bencana tersebut.
Pesuruhjayanya Ustaz Satiful Bahri Mamat mendesak kerajaan memberi tanah kepada golongan terbabit supaya PAS boleh membantu mereka membina rumah.
“kita bukan persoalkan sangat (kerajaan menghantar bantuan ke negeri lain) tapi beri keutamaan kepada anak tempatan, golongan nelayan yang berharap (bergantung) kepada pendapatan (hasil) ke laut,
“jadi kalau kerajaan dhaif (tidak mampu) sangat……….beri tapak tanah (kepada mereka) kita akan buat rumah untuk mereka,”tegas ADUN Paka itu.
Ketika melawat rumah yang dibadai ombak di Kuala Paka dekat sini beliau berkata, tanah yang diduduki oleh penduduk itu pun, bukanlah milik mereka atau kerajaan.
Tetapi jelasnya, tanah tersebut adalah milik warga Tionghua yang memberi ihsan kepada penduduk terbabit, untuk mendirikan rumah dan tinggal di situ.
Oleh itu, menurut beliau, amat wajar kerajaan memberikan tanah tapak rumah kepada mereka yang sudah tinggal di situ sangat lama, sejak 70 tahun yang lalu.
“jadi sepatutnya kerajaan ambil berat isu ini dan dibuat kawasan perpindah (ke tempat) yang lain…….sebab tanah kerajaan masih banyak,
“kita harap pihak pejabat tanah dan pegawai daerah serta lain-lain kerana mereka adalah (terdiri daripada) golongan yang kurang berkemampuan,”tambah beliau
Sehubungan itu, ADUN Chukai Chukai Haji Hanafiah Mat turut mendesak agar kerajaan menyegerakan pembinaan rumah untuk penduduk yang terlibat dengan ombak besar di Kuala Kemaman.
“saya dimaklumkan, pembinaan kerajaan buat dah 12 buah rumah (untuk mangsa ombak) di Kampung Paya Berenjut dan dijangka siap bulan Jun akan datang,
“saya mohon kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah tersebut, sekurang-kurangnya biar siap bulan April dan pastikan mereka dapat dan boleh masuk,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan yang terbabit dengan bencana air pasang dan ombak besar itu.
Turut sama dalam lawatan beliau adalah Tengku Shariman Tengku Seri Paduka Raja.
Hanafiah menambah, sebanyak lima buah di Kuala Kemaman telah musnah dilanda ombak manakala tiga buah rumah dijangka tidak dapat bertahan lama kerana rumah mereka telah dimasuki air sewaktu musim air pasang besar baru-baru ini.
Sementara itu, di kampung Pantai Kuala Paka, sebanyak 30 buah keluarga tidak dapat duduk dalam keadaan aman kerana rumah mereka sentiasa diancam ombak besar yang melanda.










