Oleh : NM
DUNGUN – Keperluan air bersih yang sangat mendesak kepada penduduk Kampung Shukur yang terputus bekalan air bersih dari SATU sejak banjir melanda di kawasan ini.
Mendengar rintihan penduduk kampung, Ahli Parlimen Dungun turun sendiri bersama penduduk kampung untuk baik pulih sumber air bukit yang terbiar dan tidak berfungsi sejak penduduk menggunakan sumber air bersih yang dibekalkan SATU.
Bekalan bahan seperti paip HDPE 3″ dan penyambung dibawa dari bandar Dungun terus ke Dam takungan untuk operasi membaiki dilaksanakan secara gotong-royong bersama kira-kira 30 penduduk kampung dan disertai anggota Unit Amal Dungun.
Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berhasrat menyertai sendiri pembaikan ini walau terpaksa berjalan kaki dan mendaki bukit sejauh 2 km untuk sampai ke Dam takungan di sungai Bangan yang terletak di pinggir kampung.
“Apabila kita dimaklumkan perkara ini oleh Pengarah Jawatankuasa Bertindak Banjir Pas Dungun Y.B. Cikgu Wan Hapandi saya kata perkara ini perlu disegerakan pembaikan ini,
“Kita tidak boleh tunggu air bersih SATU dipulihkan. Kita tidak tahu berapa lama masa diperlukan. Kita ada altenatif seperti dimaklumkan penduduk dan kita dahulukan mengikut kemampuan yang kita ada dengan kerja sama orang ramai yang sudi menderma kewangan untuk kita selesaikan masalah besar penduduk ini,” ujarnya yang juga Yang DiPertua Pas Kawasan Dungun.
Menurut ketua Bertidak Banjir Zon Kuala Jengai, saudara Zul Shawalludin Yusof beliau turun sendiri berjumpa dengan wakil penduduk bagi memastikan maklumat ini tepat dan perlu tindakan segera.
” Dalam masa 24jam masalah ini saya bawa ke pengetahuan Y.B. Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik selaku Pengarah Bertidak Banjir Kawasan ianya dapat dilaksanakan segera,” katanya yang juga setiausaha DPPKD.
Manakala Pengarah MTD Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman yang turut serta bersama gotong-royong bersyukur keperluan yang sangat mendesak oleh penduduk ini dapat diselesaikan segera.
“Penduduk Kampung beritahu saya mereka dah mula dapat sumber air bukit lewat petang tadi dan mula berwuduk untuk solat magrib dengan air bukit setelah 14 hari ketiadaan air bersih,” ujarnya.
Wakil penduduk, Tengku Hamdan Tengku Mahmud 41, menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menjayakan pembaikan sumber air ini terutama tindakan cepat Y.B Ustaz Wan Hassan.
Seorang lagi penduduk yang merupakan peniaga warung berasa lega kerana air sangat diperlukan buat masa ini.
“Saya berterima kasihlah kepada semua. Waktu kita penduduk sangat perlukan sumber air ini pihak Pas berjaya selesaikan masalah ini dengan cepat,
“Saya mula dapat air melalui paip di rumah lewat petang, saya jangka ambik masa dua atau tiga hari tapi pagi tadi kita pakat gotong- royong petang tubik selalu air…terima kasih Ustaz wan Hassan,” katanya dengan nada gembira.










