KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Selangor melahirkan rasa simpati kepada negeri-negeri yang teruk dilanda bencana banjir seperti apa yang berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Oleh itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad, kerajaan Selangor telah meluluskan peruntukan bagi membantunya.
Katanya, Kelantan merupakan negeri paling teruk terjejas dengan banjir besar mendapat sumbangan sebanyak RM1 juta dari kerajaan Selangor.
Manakala, kata beliau, Terengganu dan Pahang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000 bagi setiap negeri tersebut.
“Kita (Selangor) datang untuk menyampaikan cek untuk bantuan banjir di Terengganu berjumlaah RM100,000 dan Pahang juga RM100,000. Sebelum ini, Menteri Besar (Azmin) telah menyampaikan cek RM1 juta kepada kerajaan Kelantan.
“Ini memang yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor. (Selepas ini) Kita akan ke Dungun untuk melawat mangsa-mangsa banjir dan kita (deligasi) akan jumpa dengan MB Terengganu (Ahmad Razif) di Kemaman.
“Selepas itu, akan bertolak ke Pahang dan menyampaikan cek RM100,000 kepada kerajaan (Pahang) dan mungkin bertemu (Adnan) di Temerloh, Pahang,” ujarnya jetika ditemui di Kuala Terengganu, pada Selasa 30 Disember.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata kerajaan Selangor turut memberi komitmen bagi membantu kerja-kerja pembersihan di negeri-negeri tersebut.
Katanya, masalah yang kritikal juga adalah selepas banjir surut bagi kerja-kerja pembersihan kotoran lumpur serta pemulihan.
“Saya melihat sekarang ini keadaannya (kesan banjir) memerlukan bantuan tetapi keadaan lebih kritikal selepas banjir surut.
“Di mana, kerajaan Selangor pun telah membuat satu komitmen untuk menggerakkan pihak berkuasa tempatan, majlis-majlis dan anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk membantu di pantai timur ini.
“Insya’Allah, (bantuan) akan dilakukan untuk membersihkan kawasan-kawasan (banjir) tersebut selepas ini,” jelasnya.
Delegasi kerajaan Selangor ke Terengganu itu diketuai oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri termasuk Exco Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib serta beberapa orang pegawai pejabat MB Selangor.










