KUALA NERUS – Seramai lebih 500 orang tenaga kerja Muslimat dan Ameerah dari seluruh kawasan Kuala Nerus berikrar meningkatkan silaturrahim dan memantapkan tarbiyyah serta wehdatul fikr.
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Salamiah Md Noor berkata, ia merupakan satu agenda penting bagi gerak kerja muslimat dalam membuat persiapan menghadapi pilihanraya umum (PRU) kali ke-14 akan datang.
Katanya, kepentingan muslimat dalam menggerakkan dakwah dan politik adalah diakui serta sangat istiqomah dalam usaha menggerakkan aktiviti PAS.
Menurutnya, sikap terpuji Muslimat itu adalah hasil daripada tarbiyyah yang berterusan yang diamalkan berterusan oleh ahli-ahli Muslimat.
“Taat, thiqah dan wala’ mesti ada pada setiap pejuang agar kita tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luaran yang sentiasa cuba untuk menyelewengkan pemikiran kita”, ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Mujahidah 3.0 Muslimat Kuala Nerus yang berlangsung pada Sabtu, 20 Disember, di Dewan KOMTAQ Batu Enam dekat sini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat telah menyempurnakan perasmian Himpunan tahunan itu.
Turut sama dalam majlis itu adalah Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Terengganu Dr Alias Razak yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus.
Sehubungan itu, bagi menghargai jasa-jasa muslimat, pihak penganjur telah memberikan anugerah ‘Tokoh Yang Dihargai’.
Antara penerima pengiktirahfan tersebut ialah Almarhumah Hajah Shamsiah binti Zakaria, mantan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu yang juga Pemangku Ketua Dewan Mslimat PAS Kawasan Kuala Nerus (DPPKN)
Pelbagai acara sampingan yang diadakan bagi memeriahkan lagi Himpunan tersebut termasuk Pertandingan Keahlian teramai dan cabutan bertuah, selain pameran aktiviti dan sejarah DMPKKN dan Ameerah.
Pemenang pertandingan ahli teramai adalah Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu
Himpunan Ameerah pula diadakan sebagai acara penutup menyerikan lagi Himpunan Mujahidah 3.0 dengan persembahan hiburan alternatif seperti nasyid dan sajak serta ‘Bicara Santai’ oleh Ustazah Norzila Mohammad.










