Catatan Oleh; Hilmi Dato’ Harun
Perbandingan bajet negeri-negeri terpilih:
Bajet Terengganu : 2, 370, 000, 000 bilion
Bajet P. Penang : 0, 992, 818, 305 billion.
Bajet Kelantan : 0, 601, 514, 000 billion.
Kesusahan hidup dan keperitan rakyat Terengganu diakui sendiri oleh wakil UMNO Terengganu yang memberi ucapan di dalam perhimpunan agong UMNO baru-baru ini. Dengan harga getah antara RM1.60 @ RM1.70 sekilogram. Secara rawak, ia hanya boleh mencapai sebanyak RM25.00 seminggu. Situasi ini menggambarkan bahawa suatu masalah yang besar sedang melanda rakyat Terengganu yang kebanyakan mereka bergantung kepada hasil pertanian, penternakan dan perikanan.
Pembentangan bajet kali ini, kerajaan nampaknya menunjukkan kecaknaan yang baik terhadap sektor pertanian, penternakan dan perikanan, sebenarnya, tidak kurang hebatnya, peruntukan dalam bajet-bajet sebelum ini kepada sektor ini. Projek-projek pertanian: jom nanam, tanaman kelapa, tanaman jagung, tanaman serai, tanaman petai belalang, tanaman rumput makanan gajah, ternakan kambing dan sebagainya datang daripada bajet tahun-tahun sebelum ini.
Laporan projek-projek pertanian sebagai contoh:
1) Tanaman jagung di kampung Kuala Ping. Seluas 60 ekar. 45 ekar untuk tanaman dan 15 ekar untuk infrastruktur. Semakan audit mendapati RM 2.05 juta telah dihabiskan @ dibelanjakan. Audit menyatakan projek ini gagal dan ditamatkan. Bila ditanya tentang status dan kegiatan tanah ini sekarang, exco berkenaan menjawab; bahawa tanah itu telah ditanam rumput untuk diberi makan kepada gajah.
2) Tanaman jagung telah dilancarkan pada 22 Julai 2010 di kampung Nibong Hulu Terengganu. Tanah padi terbiar seluas 300 ekar telah diperuntukkan untuk tujuan ini. Hanya 15 ekar sahaja ditanam jagung dengan ke semua kos adalah sebanyak RM2.97 juta yang telah digunakan. Walaubagaimana pun pihak audit menyatakan tanah ini akhirnya pada 22 Jan 2012 telah diberi milik kepada 150 orang individu.
Dalam contoh pertama, duit kerajaan sebanyak RM 2.05 juta telah dibelanjakan.
Dalam contoh kedua, duit kerajaan sebanyak RM 2.97 juta telah dibelanjakan.
Persoalannya, apakah perbelanjaan sebanyak ini memberi pulangan yang selayaknya kepada rakyat Terengganu?
Rakyat juga tertanya-tanya apakah kejayaan pihak kerajaan membuat kempen tanam sawit di sekitar rumah tempat tinggal?
apakah hasil pendapatan mereka sekarang ini?
Apakah pihak kerajaan berjaya mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan?
Jika dilihat kepada ucapan bajet, pihak kerajaan, cuba mencipta sesuatu yang berlainan setiap kali ucapan bajet, tetapi gagal memberi nilai tambah ke atas tanaman-tanaman yang telah dibuat dan diusahakan oleh pihak petani, sebagai contoh; masalah harga buah-buahan tempatan yang merosot, tetapi pihak kerajaan tidak di lihat turut merasai perit jerih para petani-petani ini.
Dengan harga komoditi sawit dan getah yang jatuh, pihak kerajaan gagal menangani permasalahan ini bagi pihak peneroka-peneroka Felda dan petani kecil kelapa sawit.
Tambahan lagi, nilai saham FGV yang tidak menentu, bahkan yang paling menakutkan dengan kejatuhan harga sebenar saham FGV. Perkara ini sudah tentu memberikan kesan yang sangat besar kepadaindustri sawit dan golongan peneroka.
Sebenarnya, jika kita meneliti bajet kali ini, walaupun memperuntukkan sebanyak RM20.6 juta, jumlah ini sebenarnya kurang dari 1% daripada jumlah keseluruhan bajet negeri Terengganu yaitu RM2.37 billion. Perkara ini sebenarnya dilihat bahawa, pihak kerajaan sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk membantu pihak-pihak yang terlibat yang majoriti mereka adalah bumiputra melayu Islam.
Ia amat menyedihkan, dalam keadaan kemiskinan dan kesuntukan hidup yang mencengkam ini.
Antara perkara lain yang sempat dipersoalkan ialah, tentang penutupan loji rawatan air di Tasik Kenyir. Kos pembinaan loji ini adalah sebanyak RM28.20 juta. Lebih menyedihkan ialah peruntukan sebanyak RM28.20 juta itu, mengikut tinjauan pihak audit mendapati sebahagian peralatan dan bangunan yang telah dibina dibiarkan tanpa penyeliaan dan tindakan yang sepatutnya.
Kerajaan dilihat tidak menjiwai keperitan rakyat serta tidak cermat dalam membelanjakan duit rakyat.
[Peulis catatan ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir merangkap Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu]










