Terengganu, Malaysia

Umno Takut Dengan Perundangan Islam

Umno Takut Dengan Perundangan Islam

KUALA KANGSAR – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yakin dengan pelaksanaan hukum berasaskan perundangan Islam seperti hudud mampu menumbangkan keangkuhan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK menyeru seluruh rakyat Islam dan bukan Islam agar menyokong hudud yang akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Katanya, rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain bagi menjatuhkan Umno-BN melainkan dengan usaha menyokong hukum Islam itu.

“Bagi saya, akan percaya dan terus percaya jika kita (rakyat) mahu menjatuhkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti menyokong hudud.

“Saya seru juga kepada Pakatan Rakyat dan ahli-ahli Pakatan Rakyat serupa sama ada DAP dan PKR. Jika kita (Pakatan) mahu menjatuhkan Umno tidak ada pilihan lain melainkan kena sokong hudud dan jika tidak lebih baik ‘join’ sahaja dengan MCA atau Umno.

“Kita kena tahu hudud itu dari Allah SWT dan bukannya Akta Parlimen. Dia (hukum Allah) itu sempurna dan tidak ada kelemahanNya,”tegasnya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena Sambutan 63 Tahun PAS di Dataran Kompleks PAS Kuala Kangsar, Perak, 29 November lalu.

Menurutnya, pelaksanaan hukuman berkenaan akan membawa keselamatan kepada semua kaum, bangsa dan agama.

“Kembalikan pemerintahan Islam di negara ini supaya kita (rakyat) semua selamat. Hidup Melayu belum tentu Islam selamat tetapi hidup Islam sudah pasti Melayu dan semua bangsa akan selamat,” jelasnya disambut dengan tepukan hadirin.

Oleh itu, kata Dr Bala Chandran jika rakyat mahu melihat perlaksanakan Islam yang adil mesti menyokong hudud dan perundangan Islam.

Kata beliau, isu perkauman yang ditimbulkan oleh Umno adalah besar dan lebih menakutkan dari hudud kerana hudud itu kanun jenayah Islam yang hanya dikenakan kepada pesalah terbabit sahaja.

‘Api perkauman’ yang dibakar oleh parti pemerintah hari ini lebih bahaya dan akan kena kepada semua orang.

“Sebab itu, dalam Islam diseru kepada wahai orang-orang yang beriman dan tidak ada wahai orang Melayu, orang Arab dan sebagainya.

“Kita (bukan Islam) memang mencari keadilan dan kita sudah muak dengan slogan retorik bangsa, hidup Melayu, hidup Melayu… bangsa lain? mati Cina, mati India belaka. Kita hendak hidup Islam semua selamat,” ujarnya.

Dr Bala menyifatkan, dalam usia 63 tahun PAS ini perkara yang paling baik dan berjaya dengan kelahiran DHPP dalam PAS.

Katanya, orang bukan Islam di negara ini mula menghayati dan menyayangi PAS yang membawa keadilan dalam Islam.

“Saya harap kita sama-sama berjuang dan terus berjuang untuk memastikan PRU ke-14 akan datang isu hudud tidak akan dipermainkan oleh Umno lagi.

“Kita (DHPP) juga hendak pastikan majoriti rakyat Malaysia tahu apa itu hudud. Hudud itu bukan ciptaan manusia tetapi datangnya dari Allah SWT.

“Sebenarnya, Umno takut dengan hudud dan mereka mengunakan MCA, MIC untuk menakutkan rakyat.

“Saya akan tetap hingga akhir hayat saya memperjuangkan hudud untuk menegakkan Islam negara ini,” tegasnya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan