Oleh; KAM
KUALA KANGSAR – Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz berkata, usia PAS yang telah mencapai 63 tahun, merupakan satu usia yang panjang pernah dilalui oleh perjuangan satu parti politik.
Oleh itu, katanya setiap ahli PAS perlu memberikan komitmen yang tinggi bagi penerusan perjuangan parti di masa hadapan.
“Ini (ulang tahun) hari jadi PAS. Apakah hadiah kita sempena ulang tahun PAS? Kita (ahli) semua patut beri hadiah yang sangat berharga kepada PAS. PAS tidak meminta hadiah berupa harta benda tetapi PAS meminta kita semua memberikan waktu, masa untuk berjuang bersama dengan PAS ini, Insya’Allah.
“PAS tidak pernah meminta sebatang pen untuk dihadiahkan kepada PAS. Tetapi, PAS meminta kita semua menulis sesuatu untuk disebarkan kepada masyarakat dan rakyat tentang perjuangan, kebaikan, kebenaran, keadilan dan kemulian perjuangan Islam yang diperjuangkan itu.
“Marilah kita memberikan komitmen kita, inilah hadiah kepada perjuangan kita. Hadiah kita ialah satu komitmen, satu perjuangan, satu kejujuran dan keikhlasan.
“Hadiah kita kepada PAS ialah masa pemikiran yang seharusnya kita berikan dan sumbang untuk memacu masa depan perjuangan untuk kepentingan rakyat bersama kepentingan negara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63, Peringkat Negeri Perak di Dataran Kompleks PAS Kuala Kangsar , dekat sini, 29 Disember lalu.
Dato’ Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyokong pandangan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Umno sedang mengalami “penyakit tua”.
Katanya, jeritan para pemimpin Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di PWTC itu tabiat orang yang menghidapi penyakit tua.
“Tun Dr Mahathir kata, Umno ada penyakit tua. Sifat orang ada penyakit tua dia akan ‘menjerit’. Sifat orang ada penyakit tua ini kadang-kala dia teriak, kadang-kadang dia menangis kerana menyesal tentang kehidupan masa lalu.
“Inilah yang sedang dilakuan oleh pemimpin Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014. Sekejap-sekejap dia berteriak, menjerit dan rasa dia kuat sedangkan dia sudah tua,” ujarnya dengan sinis.
Namun, katanya PAS tidak usah syok sendiri dengan segala kelemahan yang sedang dialami oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) hari ini.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ahli PAS perlu memacu perjuangan Islam ini sesuai dengan usia kematangannya 63 tahun tahun.
“Kita (ahli) jangan merasa syok sendiri dengan atas segala kelemahan-kelemahan yang ada pada Umno. Tetapi yang penting ialah kita memacu perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini dan menjadi tugas serta tanggungjawab kita, Insya’Alla,” ujarnya.










