HULU TERENGGANU – Ahli-ahli dan penyokong PAS digesa untuk melipat gandakan usaha memberi penerangan dan memahamkan masyarakat tentang masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat, akibat dari kenaikan harga minyak dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, contoh yang jelas dan kaedah yang mudah difahami, perlu digunakan ketika menyampaikan maklumat, agar rakyat jelas bahawa, merekalah sasaran yang akan dikenakan cukai dan merasai beban kehidupan.
Menurutnya, Umno ‘memanipulasi’ masyarakat luar bandar yang kurang maklumat dan memberikan sedikit halangan kepada jentera penerangan PAS.
“Orang hulu ni faham ke tak pasal cukai baru ni? Ataupun tak tahu jugak pasal harga minyak naik?
“Ahli-ahli PAS di Hulu (Terengganu) ni kenalah berusaha lebih sikit nak bagi kefahaman kepada masyarakat………..kasihan mereka yang tak faham pasal isu GST ni,”ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata demikian pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Pejabat PAS Kawasan, Kuala Berang dekat sini, pada Jumaat 29 November.
Lebih 100 orang ahli PAS hadir ke program penerangan bagi ‘menghadamkan’ inti pati ucapan dasar presiden pada Muktamar Kali Ke-60 yang berlangsung di Batu Pahat, Johor pada bulan September lalu.
Turut menyampaikan pidato dalam program tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor.
Mengulas lanjut tentang GST, Ustaz Mohd Nor berkata, kadar enam peratus yang dikenakan GST sebenarnya dikenakan kepada pengguna terakhir yang juga seluruh rakyat Malaysia, sedangkan pembekal dan penjual boleh membuat tuntutan semula dari kerajaan.
Sementara itu Dr Riduan Mohd Noor dalam ucapannya, menerangkan tentang pentingnya kesatuan pemikiran dalam jemaah dan menyingkap kembali sejarah parti bagaimana jatuh bangunnya jemaah yang akhirnya mematangkan PAS.
Beliau turut memberi peringatan kepada ahli PAS, agar tidak terlalu dihambat dengan kemenangan yang akhirnya boleh menyebabkan kerugian kepada Islam itu sendiri.
Sebaliknya, ahli-ahli dan penyokong mestilah memahami bahawa kemenangan yang diberikan oleh Allah itu, adalah satu ujian.
Turut hadir dalam program itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Muhyuddin Abdul Rasyid dan Bendahari Pemuda PAS Negeri Ustaz Hilmi Harun yang juga ADUN Manir










