PASTI An-Nadwah; Pendidikan Pra-Sekolah Merentasi Sempadan

1223

Oleh : Ida Hidayah

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) An-Nadwah telah berjaya menganjurkan ‘Ihtifal’ atau Majlis Konvokesyen pada Isnin, 10 November yang lalu dengan begitu meriah dan kegemilang bersama komuniti Pulau Redang, sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

IMG-20141111-WA0027Dengan sambutan tahunan dihadiri oleh para pelajar dan ibu bapa serta masyarakat setempat, kehadiran PASTI yang menjadi ‘fobia’, kini semakin melakar sejarah.

Penduduk Pulau Redang mula berkenalan dengan pendidikan pra-sekolah anjuran PAS itu ketika parti itu mememrintah dan mentadbir negeri Terengganu Darul Iman, tahun 2004.

Namun, berkat kesungguhan aktivis dan para pendidiknya, PASTI yang ‘sinonim’ dengan ‘pembangkang’, semakin diterima oleh masyarakat pulau tersebut.

Justeru, PASTI yang hanya mempunyai 15 orang pelajar kini sudah bertambah lebih sekali ganda, kepada angka 32 orang.

“Kami dulu menerima hanya 15 orang pelajar yang ingin belajar di PASTI kami. Namun setiap tahun pelajar kami makin bertambah. Dan kini, Alhamdulillah kami mempunyai 32 orang pelajar kesemuanya”.

Screenshot (398)“Istimewanya PASTI kami ini kerana ibubapa yang hantar anak-anak ke sini tidak mengira fahaman politik. Mereka tahu PASTI ini PAS, tapi mereka lebih berminat untuk menghantar anak-anak ke sini kerana tertarik dengan kejayaan pendidikan Islam yang kami terapkan.”ujar Pengerusi PASTI An-Nadwah Ustaz Khairul Nizam Razali.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen itu menjelaskan, anak-anak yang belajar di PASTI akan mempraktikkan ilmu yang mereka belajar bila kembali ke rumah.

“Mereka suka baca doa, hormat pada ibu bapa dan orang tua serta lebih cemerlang di dalam pelajaran. Ini menyebabkan ibubapa lain tertarik dan ingin menghantar anak mereka ke PASTI dengan harapan agar anak mereka juga lebih cemerlang,”tambah beliau.

Oleh itu, beliau bersyukur kerana PASTI yang dulunya asing kepada penduduk pulau, kini merupakan institusi pra-sekolah utama yang menjadi pilihan ibubapa .

Screenshot (393)Ia dapat dilihat, kata beliau, perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan Tabika KEMAS yang sudah wujud lebih lama di persekitaran masyaraat Pulau.

“Ini merupakan suatu pemangkin semangat kepada kami agar lebih berusaha memajukan PASTI ini,”tegasnya.

Turut berkongsi pandangan adalah ibu kepada pelajar PASTI, Puan Kamilah A. Rahman.

Beliau juga merupakan antara guru terawal yang memberikan khidmat bakti sejak penubuhan PASTI di sana.

“Saya dok reti nok terang guane lagi. Memang terang lagi bersuluh kita tengok dan nilai sendiri anak-anak yang kita hantar di PASTI ni guane. Kite tengok anak pandai membaca, suka baca doa dan perangai pun molek. Kite mok ayah kat rumah memang dok mampu nak ajar dan tarik minat mereka belajar jadi pandai gini”.

“Bila anak-anak duduk dengan kawan-kawan, mereka jadi minat nak belajar. Jadi anak-anak cepat pandai. Pastu, belajar bab agama pulak” katanya lagi.

IMG-20141110-WA0019Sebagai pendidik, mahupun ibubapa, sudah pasti ingin melihat kejayaan anak-anak yang akan menjadi generasi pelapis masa depan.

Sokongan kewangan dan semangat, amat diperlukan oleh PASTI bagi melancarkan kerja dakwah dan pendidikan mereka.

Cabaran buat mereka untuk terus mengekalkan kejayaan dan kepercayaan ibubapa di sana.

Bagi pihak PASTI mahupun ibubapa, pendidikan agama pada peringkat awal anak-anak, merupakan jambatan buat mereka di dalam mempersiapkan diri meniti kehidupan mencabar di masa depan.

Sesungguhnya sebuah pusat ilmu yang gemilang, mampu merentasi sempadan geografi, politik dan perkauman, yang tidak akan sesekali menjadi penghalang kepada jalan menuju kejayaan di dunia dan Akhirat.