Kes Buli; Kementerian Pelajaran Perlu Lebih Berperanan

1440

MARANG – PAS memandang serius dan merasa sedih atas kejadian buli dikalangan pelajar yang menjadi ‘viral’ di dalam media sosial baru-baru ini.

“Sebelum ini telah pun ada kejadian seperti itu yang telah dirakamkan seperti yang berlaku di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN),

“Rupanya ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah lebih banyak rakaman-rakaman kes buli ini telah disebarkan di media sosial,”ujar Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Malah kata beliau, kerjasama dengan pihak polis yang dibuat sebelum ini ‘dilihat’ gagal, bahkan rakyat tidak mengetahui apakah status usaha tersebut sekarang.

Oleh itu, PAS menggesa agar Kementerian Pelajaran lebih berperanan dan mengambil tindakan perlu dalam menekankan aspek disiplin di sekolah-sekolah.

Kementerian, saran beliau, perlu menambah bilangankakitangan atau warden agar lebih mudah mendisiplinkan pelajar di asrama-asrama, dimana, seboleh-bolehnya dpisahkan antara pelajar yang jauh lebih senior dengan pelajar-pelajar baru.

“seperti pelajar tingkatan satu dengan lima bagi mengurangkan peluang kes buli berlaku (dan) hukuman yang tegas perlu diambil bagi memberi amaran kepada yang lain.

“pihak sekolah juga perlulah melaporkan kes-kes besar jika berlaku dan kami berharap tiada sekolah yang menyembunyikannya hanya kerana menjaga nama sekolah.

“Kami memuji tindakan guru-guru yang berani mendedahkan hal ini bagi masyarakat bersama-sama berganding bahu mengembeling tenaga menghapuskan kes buli sebegini,”tegas beliau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu, orang ramai dan pihak-pihak lain perlu memberikan perhatian dan memberikan sokongan kepada Kementerian Pelajaran bagi membanteras ‘jenayah buli’.

Antaranya, kata beliau, media boleh memainkan peranan kerana ia mempunyai pengaruh yang besar kepada perilaku para remaja dan orang muda.

mohd nor ybPengeluar dan pengedar filem serta syarikat-syarikat penyiaran dan percetakan perlulah memikirkan masa depan negara ini selain hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“perlulah memikirkan masa depan negara ini selain daripada memikirkan keuntungan, kerana jika pemuda-pemudi kita rosak, maka negara kita juga turut rosak.

“lambakan video samada lucah atau ganas, ditambah dengan kemudahan internet, memudahkan mereka meneroka alam larangan itu…….. ianya masih boleh dikawal dengan peranan ibu bapa dan kerajaan mengawal akses kepada internet ( lucah dan ganas),”jelas beliau.

Walaupun segala usaha itu, kata beliau, tidak mungkin akan dapat menghapuskan gejala ini secara total, tetapi paling tidak, ia dapat dikurang serta dikawal.

Ia amat penting, katanya, agar kesan buruk daripada ‘gejala buli’ tidak merebak menjadi ‘budaya hitam’ yang bukan sahaja menyakitkan tubuh badan, namun turut meninggalkan kesan jangka panjang kepada mangsa seperti trauma, kemurungan dan pendendam.

“Akhirnya kami (PAS) yakin dan percaya bahawa segala masalah umat ini hanya boleh diselesaikan dengan kita benar-benar kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.

“Dimana Islam menawarkan kepada manusia penyelesaian yang terbaik bagi mengawal disiplin manusia agar sentiasa hidup dalam batas-batasnya,”tambahnya