Lajnah Pembangunan Tanah dan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LPTB PPM) merasa sedih dan kecewa dengan insiden rumah pasangan keluarga Melayu di Kampung Chubadak Tambahan, Kuala Lumpur yang dirobohkan tempoh hari. Rumah tersebut didiami oleh pasangan warga emas iaitu Makcik Wahidah bersama suaminya Hj Halim dan mereka telahpun menduduki tanah tersebut semenjak 45 tahun yang lalu.
Insiden tersebut mengakibatkan dua orang mahasiswa yang mempertahankan rumah beliau daripada diroboh telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Apa yang menyedihkan, kerja merobohkan rumah beliau dibuat tanpa rundingan atau notis awal dari mana-mana pihak dan tiada langsung bayaran pampasan yang diberikan sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju sebelum ini.


Melihat kepada tragedi sedih di Kampung Chubadak Tambahan dan peristiwa-peristiwa sama yang kerap berlaku di kebanyakan perkampungan-perkampungan tradisi lain di seluruh negara, saya berpendapat sudah sampai masanya untuk pihak Kerajaan lebih serius dalam menangani isu-isu berkaitan perkampungan tradisi/warisan dan juga kebajikan peneroka-peneroka bandar seperti yang berlaku kepada keluarga Hj Halim ini.
Satu polisi khas atau undang-undang khusus perlulah diwujudkan segera bagi mewartakan perkampungan tradisi/warisan ini di sisi undang-undang yang bertujuan untuk mengawal dan melindungi perkampungan tersebut serta menjaga kebajikan peneroka-peneroka bandar yang terpaksa dipindahkan akibat arus pembangunan, perintah Mahkamah atau sebab-sebab yang lain. Pindaan juga perlu dibuat kepada beberapa peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi melindungi perkampungan tradisi/warisan ini daripada terus diganggu-gugat dengan sewenang-wenangnya.
Mereka adalah rakyat negara ini yang telah lama mendiami sesebuah kawasan tersebut dan telah banyak menyumbang ke arah pembangunan bandar dan hal ehwal kemasyarakatan setempat. Sekiranya perpindahan benar-benar tidak dapat dielakkan, maka sewajarnyalah layanan yang adil dan berperikemanusiaan perlu diberi khususnya dari segi penempatan baru yang bersesuaian dan bayaran pampasan yang adil dan munasabah mengikut situasi semasa.


Dalam insiden di Kampung Chubadak Tambahan ini, saya menegaskan bahawa diplomasi dan rundingan adalah jalan terbaik supaya hak tuan rumah dapat dipertahankan. Golongan penduduk, aktivis atau mana-mana pihak yang berjuang mempertahankan rumah tersebut perlu diberikan ruang untuk berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang, bukannya ditangkap, diludah dan diperlakukan dengan cara yang sangat tidak bertamadun.
Penyelesaian jangka panjang perlu dibuat bagi memastikan kebajikan dan hak-hak peneroka bandar terus terbela dengan adilnya. Biarlah episod hitam di Kampung Chubadak Tambahan ini menjadi detik kezaliman yang terakhir dengan era baru selepas ini di mana kampung-kampung warisan atau tradisi menjadi kebanggaan khususnya kepada orang-orang Melayu di negara ini.
AHMAD ZAMRI A’ASAD KHUZAIMI
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Bandar
Pemuda PAS Malaysia





























