Kenyataan ini amat sesuai digambarkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang bertindak menghalau penjaja yang berniaga disekitar pantai Batu Burok dan berhampiran Pasar Kedai Payang.
Dalam pertemuan diantara Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) dan beberapa orang penjaja malang tersebut, dapat disimpulkan bahawa ternyata kerajaan negeri, MBKT serta pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) sengaja membiarkan mereka terus dilanda masalah tanpa membuat penyelesaian bagi mewujudkan prasarana yang lengkap bagi golongan ini.
Kezaliman demi kezaliman telah dilakukan oleh pihak MBKT yang bertindak diluar batasan akhlak manusia bergelar insan,memaki hamun mengherdik serta menghalau, memperlakukan penjaja yang malang seperti menghambat binatang.
Semasa kerajaan Terengganu di era pemerintahan Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman ini ternyata golongan penjaja ini semakin ditekan oleh MBKT, barang perniagaan mereka dirampas dan dicaj dengan harga yang tinggi untuk mendapatkannya kembali. Bahan mentah dirampas serta dibiarkan begitu sahaja dan jualan harian semakin merosot akibat daripada gangguan yang dilakukan oleh pihak MBKT ini.
Penjaja penjaja malang ini sebenarnya bergantung seratus peratus kepada hasil pendapatan mereka ini, menjaja ditepi tepi jalan, dan lihatlah bagaimana pula dengan nasib anak-anak isteri mereka? Apabila dihambat oleh MBKT,maka pulanglah mereka hampa, jualan sehari boleh jadi Rm7 sehari dan tiada langsung hasil jualan.
Dengan keadaan ekonomi yang meruncing, taraf hidup yang tinggi,maka mereka meletakkan harapan kepada perniagaan yang tidak seberapa ini untuk menampung kos-kos seharian termasuklah perbelanjaan keluarga serta rumah sewa.
Ditambah pula dengan kerakusan pihak MBKT menghalau mereka,dan kerajaan negeri seolah olah bisu dan hanya memandang sebelah mata golongan-golongan penjaja yang kurang bernasib baik ini,bukan makin memudahkan tetapi semakin menekan dan menyusahkan mereka.
Peribahasa “Kera dihutan disusukan,rakyat dibiarkan kelaparan ” amat sesuai ditujukan kepada kerajaan negeri dibawah pemerintahan MB Razif yang tidak cakna akan masalah rakyat terutama peniaga peniaga kecil dan penjaja penjaja jalanan.
Antara peniaga yang telah ditemuramah oleh GANTI, kebanyakan mereka melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan layanan yang amat teruk oleh MBKT.
Kes1:
Khalid-60 tahun,penjual air,pengalaman berniaga 20 tahun,anak 6 orang.
“Kos hidup yang tinggi dari hari ke hari menyebabkan saya terpaksa berniaga kecil kecilan dan amat bergantung kepada jualan harian yang tidak seberapa untuk menampung perbelanjaan 6 orang anak dan cucu. MBKT menghalau saya dari berniaga berhampiran pasar payang kerana mereka memberi alasan penjaja ini menyusahkan dan merosakkan imej bandaraya kuala terengganu di kacamata pelancong.”
Kes2:
Jefri-34 tahun,penjual air dan keropok,pengalaman berniaga 10 tahun. Tanggungan 2 orang.
“Pendapatan saya bergantung kepada hasil jualan air balang,apabila dihalau oleh MBKT,jualan saya merosot kadang kadang tidak ada jualan langsung. Jika kebiasaannya dapat Rm70 sehari,jadi terjejas ekoran tekanan ini. Mereka(MBKT)menghalau saya dan isteri berniaga secara kurang ajar dihadapan pelanggan dengan mengeluarkan kata kata kesat,mengherdik dengan cacian yang teruk”.
Kes3:
Muslim-30 tahun,berniaga air dan satey ikan,pengalaman berniaga 5 tahun,tanggungan 4 org
“Sekarang selepas pertukaran MB baru,barang2 jualan saya terus dirampas berbanding dahulu cuma dikenakan saman sahaja.
Saya menghantar surat dan dokumen2 permohonan lesen perniagaan kepada MBKT mewakili penjaja penjaja diBatu Burok selepas diarahkan berbuat demikian oleh Tuan Ariffin PBT, rupanya sia sia apabila diberitahu oleh pegawai MBKT semua itu tidak dapat diterima sama sekali.
Kemudian dia diherdik pula oleh pihak MBKT. Bagaimana saya nak menyara keluarga jika keadaan ini berlarutan dan kerajaan negeri seolah olah memandang serong pekerjaan sebagai penjaja ini.
Kes4:
Musthain-26 tahun,berniaga air,keropok dan satey ikan,tanggungan 2 orang,memilih pekerjaan ini selepas tamat kontrak kerja diKerteh.
“Peluang kerja amat susah sekarang, kos hidup yang tinggi,kenaikan harga barang dan ekonomi yang tidak menentu, sebagai orang muda yang ingin menyara keluarga,saya terpaksa menjaja menjual air,keropok dan satey ikan dipantai Batu Burok. Berbekalkan modal yang tidak seberapa saya mula berniaga,tiba tiba tidak lama selepas memulakan perniagaan, semua sekali barang2 jualan dan gerai telah dirampas oleh MBKT. Sekarang saya buntu dengan ketiadaan sumber pendapatan ditambah pula bebanan hidup untuk menyara keluarga. MBKT minta jumlah yang besar untuk ambil kembali gerai serta peralatan yang dirampas dan saya betul2 tidak mampu”.
Ternyata penjaja penjaja mengalami tekanan jiwa yang amat teruk. Boleh dikatakan setiap hari mereka diganggu oleh MBKT yang berkelakuan teruk,mengherdik dan menghina mereka. Ada diantara penjaja yang turun naik pejabat MB dan MBKT untuk membuat rayuan termasuk aduan kepada pihak Dato Bandar. Tapi semuanya menemui jalan buntu.
Jadi kita mengambil tanggungjawab ini untuk mempertahankan golongan tertindas mustadho’afiin. Sesuai dengan moto GANTI “amar ma’ruf nahi mungkar”
InsyaAllah. Wallahua’lam.
Sabri Yusof
Ahli Jawatankuasa
Gerankan Anak Terengganu Insaf (GANTI)










