Terengganu, Malaysia
Pendapat

Kembara Kasih di Kemboja

Kembara Kasih di Kemboja

Oleh : Ida Hidayah

Setelah mengharungi perjalanan lebih 20 jam menaiki van khas Thailand dari Tak Bai, akhirnya rombongan kami sampai di sempadan Thailand-Kemboja. Aranga Pharatek berada di sebelah Thailand, manakala Poipet adalah di bahagian Kemboja. Sukar sekali mahu digambarkan kepenatan dan ‘kerimasan’ kerana hampir dua hari tidak bertukar baju. Apatah lagi ini merupakan kali pertama kembara ke negara orang yang majoritinya adalah penganut Buddha. Sepanjang hampir 2000 km perjalanan peringkat awal sahaja, pelbagai jenis patung dan sembahan yang dilihat di kiri dan kanan jalan. Sukar sekali meneka perjalanan panjang yang akan ditempuhi nanti di Kemboja. Namun, segala pengharapan dan kekuatan hanya kepada Allah diserahkan.

IMG-20141005-WA0054Setelah berjaya melepasi pemeriksaan di Aranga Pharatek, kami pula menuju ke Imigresen di Poipet. Saya diuji dengan masalah batuk beberapa hari sebelum bermusafir ke sini. Suatu dugaan yang berat kerana bandar Poipet ini cuacanya ketika itu panas dan kering, tidak jauh beza dengan cuaca di Malaysia. Tanahnya yang berselut kemerahan mudah becak ketika hujan. Ketika musim panas, suasana pula menjadi berdebu. Sepatutnya orang yang alah kepada debu perlu menyediakan penutup muka bagi mengelakkan masalah kesihatan yang lebih teruk. Suasana pula bising dengan bunyi hon motor mahupun kenderaan lain. Pertama kali melihat suasana ini, membuatkan saya kebingungan. Orang di sini memang suka main hon ke?

Perjalanan kami di Kemboja diuji buat kali pertama. Sampai sahaja di kaunter Imigresen Poipet, dua orang sahabat Nisa’ diminta membuka tudung. Katanya mahu melihat telinga dan muka juga untuk pemeriksaan lanjut. Hati ini bagai diragut ingin meronta kemarahan. Suasana agak kalut ketika itu kerana beberapa orang pemuda di dalam rombongan kami mempertahankan sahabiah ini kerana kewajipan menutup aurat bagi muslimat. Tidak cukup sekadar itu, kami juga dibantu dengan Kak Atikah iaitu wanita Kemboja yang turut serta di dalam rombongan kami berurusan dengan pegawai kaunter di dalam bahasa Kemboja. Namun pegawai itu tetap berkeras mahu tudung dua sahabat ini ‘diselak’ sedikit. Bagi mengelakkan masalah lebih besar, kami akur dengan kehendak pegawai itu. Mujurlah hanya dua orang muslimah sahaja yang diminta berbuat demikian.

IMG-20141005-WA0068(1)Sementara menunggu sahabat yang lain selesai dengan urusan imigresennya, saya dan beberapa sahabiah yang lain menunggu di tempat rehat di tepi jalan. Rancak sungguh kami berdebat sesama sendiri kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima sebagai seorang Muslimah. Di dalam kebingungan dan kepenatan itu juga lah kami di sapa seorang pemuda tampan berkulit sedikit gelap dan berbaju merah tertera tulisan “Muslim Family Restaurant”. Saya keliru mahu meneka orangnya Melayu atau Kemboja? Ini kerana bahasa Melayu nya fasih, namun pelatnya agak lain. Rupanya, itulah Ustaz Arifin iaitu adik kepada Allahyarham Ustaz Musa Soleh iaitu bekas Timbalan Mufti Kemboja. Beliau banyak membantu kami sepanjang permusafiran kami di Kemboja ini. Setelah pemergian abangnya ke rahmatullah, beliau banyak menggalas tugas arwah abangnya dan banyak dirujuk masyarakat Islam dari luar dan dalam Kemboja ini.

MISI QURBAN DAN AKIKAH

Permusafiran kami seramai 26 orang ke Kemboja ini merupakan misi khas untuk menyampaikan amanah Qurban dan Akikah masyarakat Malaysia di Kemboja. Seramai 7 orang dari NGO Nisa’ Terengganu dan selebihnya dari NGO Pasukan Cakna Ummah (PACU) menyertai misi kali ini. Ketua misi daripada PACU adalah Tuan Haji Ismail Ali, manakala Ketua Rombongan adalah Tuan Haji Ismail Musa. Bagi pihak Nisa’ Terengganu pula diketuai oleh Nadwa Insyirah Hussain. Selain amanah duit Qurban dan Akikah, kami juga membawa pelbagai bekalan makanan ringan dan pakaian terpakai untuk diberikan kepada masyarakat Islam di setiap tempat yang dilawati. Sebanyak 103 ekor lembu yang telah diamanahkan untuk Qurban dan Akikah, di mana 28 ekor darinya dicari oleh Nisa’ Terengganu. Syabas buat Nisa’ Terengganu yang berjaya mencari sumbangan yang memberangsangkan walaupun mereka menyertai misi ini buat kali pertama bersama PACU. Sesuai dengan motto Nisa’ iaitu Ceria dan Berkebajikan, di mana mereka sentiasa bersedia untuk mendekati masyarakat dengan dakwah dan kebajikan.

IMG-20141005-WA0066Perjalanan kami banyak di dalam kenderaan, kerana merentasi seluruh negara Kemboja. Biasanya kami akan sampai lewat malam di destinasi yang telah ditetapkan. Pagi esoknya pula kami berurusan dengan penduduk setempat untuk diuruskan lembu-lembu yang akan di korbankan. Setelah selesai akad dan bayaran, kami akan terus bergerak ke destinasi seterusnya. Kami tidak menunggu hingga kesemua lembu selesai di korbankan kerana kesuntukan masa. Perjalanan ke setiap destinasi biasanya mengambil 5-6 jam. Itu belum termasuk masalah teknikal kenderaan, kerenah pemandu van dan sesat. 8 tempat utama yang kami singgah untuk menyelesaikan misi qurban ini, iaitu Siem Reap, Kampung Thom, Phnom Penh, Chhnang, Pnauk, Battambang, Suay dan Darul Ulum di Poipet.

Tempat-tempat ini dipilih kerana ingin menjaga kebajikan masyarakat Islam di kawasan tersebut yang diuji dengan kesusahan. Mereka juga merupakan penganut Islam minoriti di kawasan tersebut, membuatkan kami merasa bertanggungjawab untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada mereka. Setiap hari, makanan mereka nasi berlaukkan ikan darat yang dikeringkan, ataupun telur ayam jika ada rezeki lebih.

SINAR DAKWAH DI KEMBOJA

Pusat pengajian agama merupakan pusat penting untuk pengembangan Islam di sesuatu tempat. Begitulah juga dengan adanya pusat pengajian agama untuk kemudahan masyarakat Islam di Kemboja untuk mendalami Islam. Pusat pengajian Darul Ulum yang terletak di Poipet, Pusat pengajian Darul Hadith dan Madrasah Nurul Iman di Chroy Metrey merupakan tempat yang dilawati kami. Saya teruja dengan kesungguhan anak-anak Kemboja ini mendalami Islam, malah fasih bertutur Arab. Sebagai contohnya, Madrasah Nurul Iman yang kini menempatkan hampir 700 orang pelajar dari tadika, rendah, menengah dan tahfiz. Sekolah ini lengkap dengan dewan, kelas, masjid, perpustakaan dan pentadbiran. Melihat anak-anak kecil bernasyid dan membaca doa-doa di dalam bahasa Arab, mengingatkan saya pada kanak-kanak PASTI. Islam merupakan rahmat sekalian alam dan sesuai sepanjang zaman. Pengalaman dakwah ini membuka minda kita bahawa persaudaraan bersandarkan aqidah itu manis tidak mengira warna kulit mahupun bangsa.

ERTI MEMBERI DENGAN KASIH SAYANG

Walaupun tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, kelebihan yang Allah berikan kepada kami ini berjaya merobohkan tembok kesombongan dan bangga diri kami. Memberi dan terus memberi kerana kasih kami kepada saudara Islam di Kemboja. Kami bangga dengan saudara Islam kami di sana, kerana ada yang fasih berbahasa Melayu dan banyak membantu kami untuk berurusan dengan penduduk di sana yang tidak faham bahasa Melayu. Kami kagum dengan penduduk Islam di sana yang kuat berpegang dengan ajaran Islam walau diuji dengan kemiskinan dan ketakutan. Mereka perlukan sokongan kewangan, motivasi dan doa daripada saudaa-saudara Islam mereka untuk terus kuat memikul amanah sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini. Mereka adalah sumber inspirasi kami untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Semoga kami dapat bersama lagi di dalam misi dakwah dan kebajikan ini, tidak mengira walau di mana sahaja. Selagi kudrat ini masih ada, selagi itulah akan dicurahkan segala bakti demi mengembangkan Islam di serata dunia, insyaAllah.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan