KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri digesa menempatkan peniaga-peniaga pasar Cabang Tiga di tapak asal atau di tapak lain yang lebih baik berikutan rungutan penduduk di sekitar itu mengalami pelbagai masalah ekoran pembinaan pasar baru itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, hampir 80 penduduk telah menandatangani petisyen sebagai tanda tidak bersetuju dengan pembinaan pasar baru terbabit dan memohon pihak berkuasa mempertimbangkan perkara itu.
Menurutnya, petisyen tersebut telah pun hantar kepada Pejabat Menteri Besar pada 10 September lalu namun tiada sebarang jawapan balas diterima setakat ini.
“Salah satu rungutan adalah mengenai tiada laluan masuk yang khusus dan telah menyebabkan kesesakan jalan di sepanjang laluan lorong yang sebahagiannya adalah jalan persendirian.
“Keadaan juga bertambah sesak di kawasan tersebut khususnya pada hari raya baru-baru ini dan turut berlaku kemalangan kecil melibatkan penduduk setempat pada awal Ramadan lalu. Kita harap Menteri Besar menggunakan pendekatan yang lebih mesra rakyat untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat SeniBahri Arkitek, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun tapak asal bakal dibangunkan bangunan komersial, namun Kerajaan Negeri boleh membuat keputusan untuk menghentikan pembinaan yang baru di tapak asal yan dikendalikan pemaju swasta.
Jelasnya, bangunan komersial yang dibina itu sudah tentu akan memencilkan lagi pasar baru dan menambah masalah laluan trafik.
“Pemaju swasta akan memiliki bangunan komersial yang strategi di tapak pasar lama sementara peniaga-peniaga Melayu yang sudah berpuluh tahun berniaga di sini dipaksa berpindah jauh ke dalam kawasan terpencil dari Jalan Besar Utama yang akan menyebabkan perniagaan mereka merosot,” katanya.
Raja Bahrin menjelaskan pembinaan pasar baru yang terletak di kawasan alur itu juga tidak bersandarkan polisi ditetapkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Beliau berkata, perkara itu pernah diusulkan dalam Dewan Rakyat sekitar Jun lalu dan kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelaskan tidak menggalakkan pembinaan dibuat merentasi atau di dalam sungai kerana menyulitkan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan tebatan banjir.
“Masalah akan bertambah dengan sungai kotor dan tidak mengalir dengan aras airnya hanya lebih kurang satu meter dari lantai pasar baru mungkin boleh mendedahkan pembeli kepada penyakit,” katanya.
Selain itu, pihaknya turut mencadangkan pembinaan fasa 2 bangunan berdekatan pasar baru itu turut dibatalkan kerana ia boleh mencetuskan isu kebersihan di kawasan tertutup dan risiko pembiakan nyamuk aedes di kawasan terlibat.
Beliau menjelaskan, keadaan itu bukan sahaja menambah kesesakan laluan trafik tetapi dijangka berlaku pencemaran air dan boleh menambah kerugian kepada peniaga-peniaga pasar.
Jelasnya, perkara itu perlu dikaji semula dalam memastikan masalah rungutan penduduk, kebersihan dan kesihatan tidak menjadi satu isu apatah lagi daerah Kuala Terengganu sebelum ini direkodkan sebagai kawasan paling tinggi kes denggi di negeri ini.










