Oleh : Akhr Mujahid
Perkembangan yang terbaru dengan penyertaan orang Islam menjadi ahli DAP, yang mempamerkan dan menonjolkan diri sebagai ‘wanita berpurdah’, dilihat radikal dan mengelirukan, walaupun sesetengah pihak menyifatkan ia suatu pendekatan dan wacana baru dalam politik di Malaysia pada hari ini.
DAP merupakan parti demokrasi dengan dasar “Malaysia for Malaysian” membawa penekanan terhadap kebajikan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat, yang didakwa menjadi tunjang utama dalam perjuangan parti itu.
Dasar yang memperjuangkan kebajikan rakyat, adalah fitrah (asal) bagi setiap manusia yang diciptakan Allah sebagaimana yang dikemukakan dalam teori Maslow, perkara yang menjadi keperluan utama kepada manusia.
Islam tidak sesekali mengenepikan tujuan dan hak asas ini bahkan islam telah lebih dahulu memahami keperluan sebenar yang harus ditekankan terhadap manusia sejagat, sebagaimana yang telah disebutkan dalam surah AL-Baqarah ayat 177,
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya – sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), maka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. ”
Di dalam surah Al-Hadid juga Allah s.w.t berfirman dalam ayat 25
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan…”
Allah telah meletak keadilan dan kebajikan adalah hak kepada setiap manusia daripada seawal manusia pertama diciptakan atau sehinggalah sekarang.
Namun, Islam tidak hanya tertumpu kepada pembelaan kebajikan rakyat di dalam ruang lingkup yang sempit sahaja seperti kewangan, kesihatan, penindasan dan lain-lain.
Akan tetapi Islam meliputi ruang lingkup yang lebih luas mencakupi agama, nyawa, harta, dan keturunan.
Kebajikan ini diterjemah bukan hanya kepada keperluan fizikal atau mental tetapi ia juga melibatkan persoalan keduniaan dan juga persoalan ‘timeline’ atau garis masa selepas meninggalkan dunia ini.
Daripada persoalan-persoalan harta sehingga persoalan-persoalan menjaga keturunan.
Maka, di sinilah kita dapat lihat Islam tidak menekankan hanya sekadar ‘dunia’ yang sempit tetapi lebih jauh iaitu matlamat yang lebih jelas, akhirat yang lebih luas.
Sebagaimana jawapan Ruba’i Al Amr kepada panglima parsi Rustam;
“Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada cahaya keadilan Islam.”
Perjuangan yang dibawa oleh PAS bukan hanya tertumpu kepada soal dasar ‘kontemporari’ tetapi soal penentuan halatuju yang lebih terkehadapan berbanding matlamat mahupun idealisma yang lain.
Dasar PAS adalah al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan Kias, bukan sekadar difahami melalui pemikiran yang berlandaskan ideologi, ia juga perlu dilihat berdasarkan hikmah dan falsafah akhirat.
Indikator-indikator atau ideologi-idealogi yang meletakkan asas yang tersasar yang jauh daripada Islam adalah kecelaruan yang harus dibendung dan dimurnikan semula dengan ilmu dan pentarbiyyahan Islam yang sebenar. Kecelaruan akan wujud sekiranya falsafah akhirat itu tidak difahami dengan sebaiknya dan selagi tidak memahami kehendak islam yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan utusanNya para nabi dan rasul-rasul alaihi mussola tu wassalam.











