Terengganu, Malaysia
Pendapat

Muktamar Medan Membedah Organisasi

Muktamar Medan Membedah Organisasi

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Simbahan cahaya keperakan di pagi yang indah perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke 60 di Batu Pahat Johor seperti menghantar isyarat, Parti Islam yang berusia 63 tahun ini akan menjadikan Johor sebagai pengkalan politiknya selain Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ribuan para perwakilan dan juga pemerhati membanjiri perkampungan muktamar di Parit Raja dengan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat perjalanan acara tahunan yang paling penting kepada harakatul ummah ini.

Muktamar adalah medan ukhuwwah yang mengikat tali hubungan antara pimpinan dan ahli, berbezalah pandangan namun ukhuwwah jangan dileraikan kerana prasyarat kemenangan Islam ialah ukhuwwahfillah. Robohnya ikatan ini akan menghantar gerakan Islam ke jurang berantakan yang akan menyirnakan kekuatan. PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, bukan tidak pernah menyaksikan gelombang besar krisis namun bahtera besar yang seangkatan dengan Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami tetap istiqomah menerjang badai mehnah. Serpihan PAS seperti HAMIM, BERJASA, kumpulan Islah ditelan zaman, namun PAS tetap membesar dengan izzah serta menjadi pesaing utama kepada regim UMNO dan BN.

PAS dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbedaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik . Ditambah dengan fenoymena media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin maka PAS menjadi subjek popular yang dibincangkan samada positif atau pun negatif. Fenomena ini juga melanda Ikhwanul Muslimin, PKS, AKP dan juga gerakan siasah Islam yang lain. PAS selain menjadi subjek popular warga siber, juga tetap menjadi mandraguna stesyen TV,radio dan media cetak, ini menunjukkan keberadaan PAS di tanah leluhur ini sangat signifikan.

Muktamar PAS dizaman siber ini walaupun jauh berbeda dengan puluhan tahun yang lampau, namun aspirasinya tetap sama iaitu membedah organisasi dalam tempoh penggal setahun. Muktamar bukanlah medan untuk mengampu pemimpin seperti Perhimpunan Agong UMNO, juga bukan medan membaling kerusi seperti yang terjadi kepada parti konvensional yang lain. Gerakan Islam ini walau cuba ditanam benih musuh untuk meluluhlantak akhlak pendokongnya, namun dalam sejarahnya muktamar PAS masih terkawal . Paling dramatik dalam medan tahunan ini ialah pada tahun 1982, apabila para perwakilan telah menolak ucapan dasar Yang Di Pertua (Presiden) PAS. Penolakan ucapan dasar ini membawa kepada perletakan jawatan Dato Asri dan pimpinan PAS yang lain.

Muktamar PAS bukan sahaja medium Presiden untuk mentarjih perjalanan harakatul ummah ini melalui ucapan dasar Presiden, juga perwakilan akan menilai keupayaan pimpinan pusat yang telah mereka lantik. Bedah organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lujnah-lujnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah. Muktamar adalah tempat paling ideal untuk melontar idea dan berpencak hujjah, bukannya medium FB serta media sosial yang lain. Maka manfaatkan masa berharga selama tiga hari ini di bumi Johor, pimpinan wajib berlapang dada dan mendepangkan telinga, mendengar suara akar umbi.

Ayuh, abnaul harakah sekalian, genggamlah tangan berpadu tenaga, berderapan kita melangkah gagah dijalan juang ini. Muktamar adalah medan menguatkan gerakan Islam ini, bukan medan melebarkan jurang ukhuwwah. Terus beristiqomah sehingga panji kemenangan kita julang samada dunia dan akhirat!
( Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Lujnah Politik Pusat)

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan