Setiausaha PAS Tumpat Calon PRK Pengkalan Kubor

1331

Setiausaha PAS Kawasan Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim diumumkan calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, membuat pengumuman itu di depan penyokong PAS, di Kampung Geting, di sini, malam tadi.

“Sudah lama orang ramai hendak tahu. Calon PR, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang tidak asing daripada kita.

Katanya, Wan Rosdi ada pengalaman dalam masyarakat dan insya Allah akan berjaya menawan semula Dun Pengkalan Kubor.

“Kerja-kerja wakil rakyat sudah jadi rutin baginya,” ujar beliau

Wan Rosdi yang juga kontraktor ialah Penyelia bagi DUN Pengkalan Kubor.

Menurut biodata yang diedarkan, Wan Rosdi merupakan anak tempatan Kampung Bendang Pak Yong. Pernah mengikuti kursus pentadbiran perniagaan di Tokyo, Jepun pada 1984.

Wan Rosdi pernah menimba ilmu di Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani, Kedah dalam binaan bangunan (1978-1980).

Pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhamadi Pasir Mas sehingga lulus SPM. Pernah juga belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al Ihsan, Tanah Merah.

Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah. Susur galur keluarganya terbabit dengan PAS. Ibunya, Wan Esah Wan Deris merupakan Ketua Muslimat PAS Tanah Merah.

Beliau berhijrah ke Tumpat selepas berkahwin dengan Saadiah Salleh yang juga bekas Ketua Muslimat PAS Tumpat. Bagaimanapun isterinya meninggal dunia pada 14 Julai 2013.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 5 anak. Wan Muhammad Khairul Amili bertugas sebagai jurutera, Wan Nor Hayani lulusan master di UiTM, Wan Shakikah lepasan ijazah USIM. Wan Mohd Shafiq (Ijazah Universiti Islam Sultan Shariff Riau, Pekan Baru Indonesia) dan Wan Najibah lepasan ijazah USIM.

http://youtu.be/_KXclwMk5gw

Wan Rosdi juga merupakan Ketua Unit Amal Tumpat ketika peringkat awal diwujudkan.

Sebelum terbabit sepenuh masa dengan parti beliau mengurus perniagaan sendiri sebagai kontraktor binaan.

Kegiatannya dalam parti bermula sebagai ahli jawatankuasa Pemuda PAS Tumpat pada 1991 dan 1997 dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS Tumpat.

Selepas pilihan raya umum 1999 Wan Rosdi bertugas sebagai setiausaha Adun Pengkalan Kubor, Wan Hussin Wan Ahmad.

Pernah juga dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS Tumpat dan Setiausaha Penerangan PAS kawasan. Dan mulai tahun lepas dilantik sebagai Setiausaha PAS Tumpat.

Hubungannya dengan masyarakat di Pengkalan Kubor tambah akrab selepas dilantik sebagai Penyelia Dun Pengkalan Kubor sejak 2009.

Beliau juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Kompleks Perkayuan Kelantan pada 2013 dan ahli majlis Majlis Daerah Tumpat pada 1997-2007

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Wan Rosdi, berkata dia memulakan karier pada 1991 dan tidak menyangka pucuk pimpinan parti memilihnya untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Sebenarnya, ramai lagi orang lain yang layak untuk dijadikan calon. Tapi, InsyaAllah…jika menang, saya akan bangunkan lagi DUN Pengkalan Kubor,” katanya.