“Media Usah Serkap Jarang,” Nasihat Presiden PAS

1162

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang enggan mendedahkan senarai nama calon bakal Menter Besar Selangor yang telah dihantar oleh parti itu kepada pihak Istana, 3 September lalu.

Justeru, beliau turut menasihatkan kepada pihak media agar tidak membuat spekulasi serta ‘serkap jarang’ terhadap nama-nama yang diserahkannya itu.

kam3030(a)-serkap1Ini kerana, kata Dato’ Seri Abdul Hadi setelah senarai nama calon Menteri Besar yang diminta oleh pihak Istana dihantar menjadi hak Sultan Selangor mengumumkannya.

“Saya berpegang kepada prinsip dan konsep Perlembagaan iaitu Raja Berperlembagaan. Saya tak boleh beritahu, tak boleh mendahului Istana.

“Itu (spekulasi) saya tidak mahu serkap jarang…saya tak tidak mahu bagi media serkap jarang, setelah saya serah kepada Istana dan Istana ‘berpijak’ di atas konsep Raja Berperlembagaan,” ujarnya ketika ditemui pihak media selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Ustaz Abdul Hadi diasak oleh pihak media agar PAS mendedahkan senarai nama calon MB Selangor yang baharu serta tidak mencalonkan nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Itu (nama calon) saya tak boleh sebut…tak boleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (Sharafuddin Idris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa,” jelasnya.

Malah, kata beliau, PAS tidak pernah tunduk atau mengalah kepada mana-mana parti tetapi berpegang teguh dengan kesepakatan dalam konvensyen pakatan rakyat.

“Tidak mengalah, kita (PAS) berpegang kepada konvensyen Pakatan Rakyat yang meletakkan Islam agama Persekutuan, Raja Perperlembagaan. Itu dalam Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Presiden PAS itu turut ditanya tentang spekulasi penubuhan sebuah parti baharu ‘pecahan’ PAS yang dinamakan Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), adakah bakal memberi saingan kepada parti.

Kata Ustaz Abdul Hadi, beliau tidak tahu menahu mengenai penubuhan parti Pasma itu tetapi tidak menjadi masalah dalam negara demokrasi.