KUALA TERENGGANU – Majlis Syura Ulama tidak pernah menerima pemimpin wanita sebagai Menteri Besar namun keputusan meletakkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor adalah kerana menghormati tahalluf siyasi dalam PR.
Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh menegaskan, nama Wan Azizah bukan dicadangkan Pas sebaliknya diangkat oleh PR terutama PKR dan DAP dan selaku rakan pakatan, pihaknya menghormati suara majoriti itu dengan tidak menolak nama dicadangkan kedua-dua parti terbabit.
Menurutnya, suara Pas hanya satu pertiga sedangkan dua pertiga lagi adalah suara dari PKR dan DAP yang perlu diambil kira.
“Satu pertiga dari Pas, satu pertiga dari PKR dan satu pertiga DAP. Oleh sebab dua parti (PKR dan DAP) itu mencadangkan Wan Azizah ini sebagai calon Menteri Besar maka dia jadi suara majoriti.
“Tetapi Pas tetap dengan pendirian bahawa kita cadang dua nama, satunya (Wan Azizah) sebab ambil dari roh tersebut, kita tidak tolak kerana itu (suara majoriti) dari PR tetapi pegangan Pas sebagaimana yang saya tegaskan tadi,” katanya kepada pemberita di Majlis Aidilfitri Pas Terengganu di sini, semalam.
Selain Wan Azizah, Pas turut mencadangkan nama lain iaitu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Berhubung pemilihan wanita sebagai pemimpin, Nik Zawawi memberitahu terdapat dua keadaan dalam Islam berdasarkan wilayah ‘ammah (lingkungan umum) dan wilayah khosoh (lingkungan khas).
Jelasnya, wilayah khosoh seperti pelantikan Exco dan wakil rakyat di kalangan wanita dibenarkan dalam Islam walaupun ada mazhab tidak membenarkannya seperti Mazhab Hambali.
“Dia tidak benarkan wanita terlibat dalam kepimpinan kerana kelemahan semula jadi yang Allah buat.
“Wilayah ‘ammah (pelantikan wanita sebagai pemimpin tertinggi) ini jumhur ulama tolak kerana wanita ini lemah dan apa yang berlaku di dalam tahalluf siyasi ini Majlis Syura Ulama hatta Pas Pusat sendiri kita tidak menerima kepimpinan daripada wanita. Itu perlu kita faham,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya tiada hak untuk membatalkan keputusan parti lain namun selagi mempunyai ruang membuat keputusan, beliau menegaskan bahawa Pas tetap mengatakan wanita tidak sesuai menjadi Menteri Besar.
Beliau turut memberitahu Pas telah pun menasihati rakan pakatan terutama PKR berhubung pemilihan wanita berdasarkan kepimpinan Islam namun pihak tersebut hanya berdiam diri.
Nasihat Pas seolah-olah tidak didengari apabila PKR bersama-sama DAP tetap mencadangkan calon tunggal iaitu Wan Azizah sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Dia masih pertahankan atas nama presiden parti. Jadi, itu di luar bidang kuasa kita dan kita telah bagi kedudukan dalam agama.. dan itu memang kerja kita. Dalam PR ini, apa jua keadaan sekalipun kita banyak menasihati. Soal didengari atau tidak adalah isu yang lain. Pada Pas, kita dapat menyempurnakan kewajipan kita,” katanya.
http://youtu.be/cApwcyOHQ8s










