Ayah Chik, Pejuang ‘Kental’ Tidak Goyah Dilanda Badai!

1052

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Saat selesai kuliah pagi Jumaat semalam 8 Ogos 2014, sebagaimana temujanji yang telah diatur, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu membuat kunjungan hormat kepada Tuan Guru Presiden PAS di kediamannya, di sisi masjid Rusila.

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang melangkah keluar dari masjid usai menyampaikan kuliah dinanti-nanti para jemaah yang beratur di kiri dan kanan laluan ke rumahnya, tampak begitu dirindui.

Sebaik susuk tubuh ulama haraki itu, masuk ke rumah kayu lama yang menjadi kediamannya sejak puluhan tahun, Setiausahanya Tuan Haji Zaihan memaklumkan, Tok Guru hendak berbaring dan berehat seketika.

Mungkin terlalu keletihan dan belum sihat sepenuhnya.

Saya kata, “Tak apalah… kalau Ayah Chik keletihan, kami datang semula. Berikan peluang Ayah Chik berehat.”

Namun, ternyata rehat Ayah Chik tidak lama, lebih kurang 10 minit kemudiannya, rombongan kami dijemput masuk.

Ketika bersalaman dan mencium tangannya, saya memaklumkan, kami dari Lujnah Kebajikan PAS Negeri Terengganu berhajat untuk bertemu mata dengan beliau.

IMG-20140809-WA0012Walau pun ada sedikit ‘keletihan’ di wajah Tok Guru, kehadiran kami tetap di sambut dengan ceria dan bersemangat.

“Terima kasih datang ziarah saya. Semalam Ustaz Abu Bakar Abdullah mari. Saya ingat dia masih Ketua Kebajikan.”ujarnya bersahaja.

Setelah lebih kurang setahun saya mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Kebajikan Negeri dari pimpinan sebelum ini Cikgu Haji Husin Ismail dan sebelumnya dipimpin oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah, inilah kali pertama Jawatankuasa baru Lujnah Kebajikan membuat kunjungan hormat kepada Tok Guru.

Disebalik segala kepanasan suhu politik dan isu yang sedang hangat berlegar, Tok Guru tetap tenang dan ceria.

Jiwa besar seorang pejuang ‘kental’ yang penuh teruji tidak mudah goyah dengan badai yang melanda.

Dalam kesempatan yang singkat, pelbagai isu dikupas beliau dan kami sempat mengutip ilmu dan pengalaman dari setiap pandangannya.

Bermula dari isu Palestin, isu Syria, isu Yaman dan Iraq serta bagaimana perancangan kuasa barat untuk memencilkan Palestin dihuraikan oleh Tok Guru dengan penuh wibawa.

Sepatah saya bertanya, “Pada pandangan Ayah Chik…….. apakah Erdogan akan hantar bekalan kepada penduduk Gaza dengan kapal laut yang diiringi kapal perang sebagaimana yang dicanangkan?”

“Itu hanya kenyataan untuk kempen pilihanraya. Turki terikat dengan komitmen NATO. Dia tak akan dapat buat…”

“Bila Mahmud Abbas dan Hamas bersatu kerana krisis yang sedang berlaku ini, kuasa barat marah. Dia nak tengok orang berpecah. Bila orang Islam berpecah, mereka suka. Ni perangai Amerika.”

“Orang barat boleh sokong siapa saja tak kira sunni, syiah atau komunis. Yang penting mereka boleh jaga kepentingan mereka dan boleh kaut hasil dari bumi Ummat Islam.”ujar beliau

Mengakhiri pertemuan kami, saya maklumkan, “Kami datang untuk menyatakan rasa kebersamaan dan berdiri teguh di belakang Ayah Chik dan menyokong apa sahaja langkah yang Ayah Chik ambik demi kebaikan parti. Kami cukup yakin Ayah Chik akan buat yang terbaik untuk Islam.”

Tok Guru tersenyum lebar, “Ya! Ya! Majlis Syura dah buat ketetapan…” Kata Tok Guru mengakhiri pertemuan.