Gaza: Yayasan Amal Salur Bantuan Awal RM50K

1269

Ankara, TURKI – Gaza akan jadi padang jarak padang tekukur setelah masuk minggu ketiga serangan Israel, bertubi-tubi membedil ‘Segenting’ itu yang menyaksikan lebih 1000 orang warga Palestin terkorban syahid.

“kematian demi kematian, kemusnahan demi kemusnahan……….serangan Israel sebenarnya akan membunuh keseluruhan 1.8 juta rakyat Gaza yang naif.

“Justeru akan menjadikan Segenting Gaza bagai padang jarak padang tekukur dalam masa yang singkat,”kata Ketua Urusetia Isu Palestin, Yayasan Amal Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah.

gaza hancurBeliau yang menhantar mesej dari Turki kepada pihak kami berkata, secara keseluruhannnya, dianggarkan jumlah kemusnahan terkini melibatkan 2655 buah rumah hancur, manakala 3175 buah rumah lagi runtuh sebahagian besarnya.

Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan 116 buah sekolah, 18 buah klinik, stadium, Masjid, jalan raya, pondok telefon, saluran paip air dan balai polis telah dibom oleh tentera Israel. Dengan ini menganggarkan kerugian RM2.64 bilion.

“Laporan dari Pasukan Perubatan Gaza bahawa seramai 816 orang rakyat awam Gaza telah syahid dan lebih dari 5000 orang cedera. Berbanding dengan rakyat Israel hanya 32 orang tentera dan tiga orang awam terbunuh.

“Disinilah memerlukan sokongan padu dari seluruh umat Islam dunia untuk membina semula Segenting Gaza yang hampir hancur musnah. Bantuan kecemasan segera diperlukan walaupun di saat ini bantuan tidak dapat masuk dengan jumlah yang besar akibat dari sekatan di pintu Rafah.

Beliau bersama rombongan yang diketuai oleh Presiden Yayasan Amal Malaysia Haji Hussein Ismail menghadiri satu mesyuarat antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh dunia.

Katanya, NGO mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk menyampaikan saluran kepada pembangunan semula Gaza dalam masa terdekat.

“Kawasan yang paling banyak terjejas adalah di sekitar 3 kilometer sempadan Gaza Israel. Laporan dari Badan Kebajikan Oxfam British menanggarkan serangan ke atas Stesen Janaletrik menjadikan sistem elektrik di Gaza lumpuh.

“Begitu juga kemusnahan akibat bom ke atas sumber bekalan air mengakibatkan dua pertiga rakyat Gaza menderita ketiadaan bekalan air yang bersih,”jelasnya.

Menurutnya lagi, media Israel mendakwa, 3000 tan bahan letupan telah dijatuhkan di Segenting Gaza dalam tempoh 2 minggu pertama perang.

Ia termasuk 120 tan bom di bandar sempadan Shejaia, di mana 100,000 penduduk menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

gaza hancur1“Mereka hilang arah tuju untuk berselindung kerana semua sempadan keluar telah ditutup rapat. Menjadikan Gaza adalah penjara terbesar pada masa ini,”katanya.

Oleh itu, satu persetujuan telah dicapai dalam satu mesyuarat khas Gabungan Antarabangsa Bantuan dan Pembangunan (IFRD) mengenai bantuan ke Gaza.

“Semua Ahli jawatankuasa IFRD bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan dalam pelbagai saluran yang telah kenal pasti. Segala penyelarasan akan dibuat oleh jawatankuasa khas isu Palestin di bawah IFRD.

“Pada misi kali ini, sebanyak RM50 ribu telah disalurkan segera kepada NGO Gaza. Bantuan ini akan menampung kos perubatan dan makanan,”jelas beliau.

Justeru beliau menyeru seluruh muslimin dan muslimat, bersempena Eidul Fitri agar melipatgandakan sokongan kepada Gaza dan warga Palestin.

“Semoga dengan sedikit bantuan ini akan memberikan sinar gembira kepada rakyat Gaza yang sedang diserang oleh Israel. Segala sumbangan tersebut yang datangnya dari seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan sesama insan,”tambah beliau