KUALA NERUS – Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus dengan Kerjasama PAS Kawasan Kuala Nerus hari ini menganjurkan Program ‘Shopping Raya’ Anak-anak Yatim Parlimen Kuala Nerus bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus di sebuah pasar araya besar dekat Gong Badak, di sini.
Seramai 100 orang anak-anak yatim terpilih bagi mewakili keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Nerus dengan 25 orang bagi setiap DUN.
Mereka menerima baucer sumbangan sebanyak RM100 untuk membeli pakaian sempena aidilfitri yang bakal tiba.
Program kali ini merupakan kali kedua dianjurkan setelah program tahun lepas mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, “anak-anak yatim ini dikenal pasti melalui program ziarah yang dilakukan secara berkala di seluruh parlimen. Mereka yang kehilangan bapa, dan ibu bapa menjadi keutamaan dalam pemilihan tersebut.
“Kita mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sebuah NGO, Persatuan Prihatin Ummah Malaysia menawarkan bantuan untuk mengutip dana fakir miskin dan anak yatim dan kita telah pun mendapat sumbangan sebanyak RM5000 dalam masa seminggu,”ujarnya
Katanya, program ini akan diteruskan lagi bagi membela dan membantu anak-anak yatim ini supaya mereka juga dapat meraikan hari raya aidilfitri seperti mana kanak-kanak yang lain.










