Serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza masuk hari ke 12 pada Jumaat 18 Julai, menyaksikan lebih ramai insan yang terbunuh, cedera dan bangunan serta harta benda yang musnah.
Sebaliknya, Ketua Urusetia Isu Palestin Yayasan Amal Malaysia Dr Suhazeli Abdullah berkata, tiada nyawa yang terkorban dilaporkan dipihak Israel.
“Sehingga 17hb Julai (semalam) sejumlah 242 orang syahid, terdiri daripada 52 orang kanak-kanak, 29 orang wanita, 16 orang tua dan 145 orang dewasa.
“Manakala seramai 1860 orang cedera, terdiri daripada 520 orang kanak-kanak, 372 orang wanita, 67 orang tua dan 901 orang dewasa.
“Sebanyak 2198 bangunan musnah, terdiri daripada 2070 buah rumah kediaman, 32 buah masjid, 70 buah sekolah dan 26 buah bangunan pejabat,”ujarnya.
Oleh itu, beliau mengajak seluruh masyarakat untuk meneruskan usaha ‘3B’, iaitu berdoa, boikot dan berderma, ekoran tindakan rejim Israel ‘laknatuLlah’ memulakan operasi darat untuk menawan Gaza.
“hari ini terus membimbangkan kita dimana operasi serangan darat bermula,
“saya menyeru agar kita teruskan usaha usaha kita berdoa, boikot dan berderma (3B). Itulah paling minima usaha yang boleh dilakukan oleh kita sebagai insan,”seru beliau.


“Jangan biarkan Gaza menjadi penjara terbuka dan pembunuhan demi pembunuhan terus berlaku. Jangan biarkan Israel berpesta atas keangkuhan mereka,”tambah beliau



























