PAS Bantu Golongan ‘Miskin’ Dunia Dan Akhirat

1529

Oleh : KAM

KUALA NERUS – PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam mengambil tanggungjawab sosial membantu golongan miskin yang kurang bernasib baik bagi meringankan beban kehidupan di dunia.

Pada masa yang sama, PAS bimbang ada golongan yang akan menjadi ‘miskin’ di akhirat kelak kerana mengingkari perintah Allah SWT.

Yang Dipertua PAS (YDP) Kuala Nerus, M.Syukrimun Shamsuddin berkata golongan tersebut berhak dibantu dan meminta bantuan bagi mengisi keperluan dunia dan akhirat bagi diri dan keluarga mereka

“Kita (PAS) sangat merasa bimbang jika rakyat ini bukan sahaja miskin di dunia tetapi juga miskin di akhirat kerana melanggar perintah Allah SWT.

miskin dunia“Ini (bantuan) menjadi sebahagian dari tanggungjawab sosial kita (PAS) kepada masyarakat yang miskin dan dhaif, yang kurang bernasib baik. Golongan fakir miskin ada disebut oleh Allah dalam al-Quran.

“Cuma, kita (PAS) tidak mahu rakyat miskin di hari akhirat…bukan sahaja miskin harta benda di dunia tapi miskin amalan di akhirat,” ujarnya dihadapan 150 penerima sumbangan sempena Ramadan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sumbangan Kebajikan Dun Seberang Takir, di perkarangan Pusat Tarbiah Dun Seberang Takir, Kampung Duyung, Kuala Nerus pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, habuan kesenangan di dunia ini hanya sementara waktu dan menjadi tanggungjawab kepada golongan kaya membantu orang yang kurang bernasib baik.

Beliau yang juga Bendahari PAS Terengganu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan yang banyak menyumbang bagi menjayakan program tersebut.

Katanya, meski pun PAS tidak mempunyai peruntukan khas bagi membantu orang miskin tetapi tidak mengabaikan golongan berkenaan.

“PAS tidak ada peruntukan khas untuk bantu orang miskin. Tapi, apa yang kita buat (sumbangan) dari duit para dermawan dan sukarelawan yang bersama dengan kita.

“Terima kasih kepada para penyumbang, dermawan dan sukarelawan yang membantu dan bersama dengan kita (PAS) untuk menjayakan program ini,” ujarnya.

Menurutnya, PAS akan terus menyumbang bagi meringankan beban golongan miskin tersebut menyambut Idulfitri tidak berapa lama lagi.

Seramai 150 orang penerima sumbangan ini dipilih dari 14 cawangan PAS dalam Dun Seberang Takir dan masing-masing menerima wang tunai serta barangan keperluan asas dapur.