Abu Bakar Chik Sebati Dengan Pemuda, Ibarat Aur Dengan Tebing

2334

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tarikh yang sama pada 12 tahun yang lepas, iaitu 23hb Jun, 2002, kita kehilangan Presiden PAS, Tuan Guru Fadhil Nor. Selepas itu,  satu demi satu pimpinan PAS dipanggil menenmui penciptaNya. Pada 26hb September, 2013 PAS kehilangan Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak, mantan Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Kedah yang sempat menjadi Menteri Besar Kedah, 2008-2013.

Sungguhpun begitu terasa dengan kehilangan tokoh-tokoh utama kepimpinan ulamak PAS ini, tetapi kehilangan dua orang tokoh PAS dari Terengganu ini, yakni mantan Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Ulamak PAS begitu memberikan kesan yang mendalam kepada saya kerana kedua-duanya mendidik dan mentarbiyah saya secara langsung dalam organisasi.

Belum pun sempat pemergian Tuan Guru Dato Haji Harun bin Taib mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan ADUN Manir pada 25hb Januari, 2014 dapat diterima ketiadaannya walaupun sudah 5 bulan berlalu.  Pada 23hb Jun, secara tiba-tiba Ustaz Abu Bakar Chik atau lebih mesra dipanggil Ustaz Kor atau ABC sahaja dikalangan kenalannya turut dijemput penciptaNya.

Saya tidak tahu dimana hendak memulakan coretan santai ‘tribute’ kepada kerana dia seorang murabbi  yang sangat hebat. Antara percaya dengan tidak, saya telefon pada biras beliau, Sazali Mohd Noor untuk pengesahan maklumat tersebut setelah melihat mesej dalam WhatsApp sekitar jam 6.00 pagi Isnin pada 23hb Jun, kerana begitu terkejut bila mendapat tahu Ustaz Kor telah meninggal dalam perjalanan ke hospital Hulu Terengganu selepas terlibat dalam kemalangan di LPT2, Bukit Besi-Kuala Terengganu diawal pagi tersebut selepas pulang dari Kuala Lumpur.

ijtimak-tarbawi-pemuda-pas-tuan-guru-abu-bakar-chik-nasrudin-tantawi-azman-syafawi-khairul-faizi-nik-abduh-kamal-pas-pemudaMana mungkin saya tidak terkejut? Baru malam tadi sahaja, saya mengikuti tazkirah beliau dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi (SERAMBI) di Shah Alam yang disiarkan secara langsung oleh hijau.fm bersama dengan anak sulong yang memandu kereta dari KLIA ke rumah di Bandar Baru Bangi  sebaik pulang dari merasmikan Mesyuarat Agong PAS Labuan pada hari tersebut.

Rupanya Ustaz Kor dengan pemuda sukar dipisahkan, ibarat aur dengan tebing. Bermula dengan pemuda, berakhir dengan pemuda juga. Malah program SERAMBI di Shah Alam itu menjadi program yang terakhir baginya. Beliau sendiri menjadi Ketua Pemuda PAS Pusat selama satu dekad (1989-1999) selain pelbagai lagi jawatannya dalam pemuda.

Memang  agak lama tak dengar ceramah dan kuliah beliau,  secara sepontan saya kagum dengan tazkirah ringkas dan padat Ustaz kor pada malam tersebut. Disebabkan tazkirah tersebut telah menjadi pesanan terakhir oleh beliau, saya minta Hijau.fm mengulang siar rakaman tersebut pada jam 9.30 malam pada 23hb Jun dan pada 24hb diulangsiar sebanyak 3 kali, jam 10.00pagi, 1.00 tengahari dan 5.00 petang.  Rugilah bagi mereka yang tidak sempat mendengar amanat tersebut.

Saya mula mengenali dan mengikuti politik Ustaz Abu Bakar Chik sejak beliau menjadi ADUN Jeram (sekarang Telok Pasu) pada tahun 1982 bersama 4 orang lagi pemimpin PAS Terengganu, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (Marang, sekarang Rhu Rendang), Mustapa Ali (Wakaf Mempelam) dan Wan Mutalib Embong (Batu Burok) serta Ustaz Harun Taib (Manir).

Saya tidak ingat bagaimana pertama kali saya menenui beliau, tetapi beliau amat rapat dengan gerakan mahasiswa bukan sahaja diatas sifatnya sebagai pemimpin pemuda, malah setelah tidak lagi menjadi pemimpin pemuda pun beliau sentiasa rapat dengan mereka. Jiwanya sebagai pemimpin gerakan pelajar tidak pernah padam dari diri beliau walaupun dia telah lama meninggalkan kepimpinan kampus pada lewat 1970an lagi.

Pada masa beliau memimpin pemuda, beliau menggalakkan saya menulis berkaitan dengan gerakan pelajar. Selain menulis berpuloh artikel berkaitan gerakan pelajar dan politik kampus, diatas dorongannya juga saya sempat menulis dua buah buku, iaitu  Gerakan Pelajar: Kepimpinan, Pengurusan dan Cabaran (1993) dan Disebalik Tabir Politik Kampus (1995).

SDC10918Sungguhpun saya rapat dengan beliau, tetapi saya tidak bersedia untuk menerima dan memegang jawatan rasmi dalam pemuda pusat ketika itu. Saya sendiri tidak pasti kenapa ianya berlaku. Tetapi pada suatu hari pada tahun 1993, beliau beria-ia meminta saya menerima untuk dilantik jawatankuasa dan membantunya dan Prof Zainal dalam menguruskan Lajnah Petani, Peneroka dan Nelayan (PPN) Pas Pusat yang diserahkan kepadanya.

Antara ingat-ingat lupa, satu hari ketika menghantar beliau untuk hadir mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat, ketika Ustaz Harun dan Ustaz Hadi serta beberapa pimpinan lain sedang bersembang sambil berbincang  di Markaz Taman Melewar, saya diperkenalkan kepada kedua-dua pimpinan tersebut dalam bahasa Arab. Saya tak berapa faham kecuali beberapa patah perkataan yang mudah mudah.

Apa yang saya ingat, dia sebut saya berasal dari Manir. Ustaz Harun pulak tambah, “ayah dia orang panggil Ayoh Chik, dudok di Manir tetapi pengundi Marang, kawasan enta”, katanya sambil melihat kepada Ustaz Hadi.

Kemudian, Ustaz Hadi pulok beritahu, “ana yang hantar dia ke UTM dulu”, katanya memberitahu kepada semua pimpinan yang ada. Saya pun tak terkata kerana Ustaz Hadi begitu prihatin dan masih ingat lagi hal yang telah berlalu lebih sedekad, apada tahun 1980an lagi.

Ayah memang kenal baik dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, jadi bila adik masuk ke UTM pada tahun 1986, ayah umpang Tuan Guru yang kerapke Kuala Lumpur melaksanakan tugasnya sebagai pimpinan PAS selain berceramah dan berkuliah.

Rasanya. sehingga sekarang, Tuan Guru tidak tahu yang dia hantar ke UTM dulu bukan saya tetapi adalah adik saya (namanya Abdul Raman, sama seperti salah seorang anak Tuan Guru). Semoga Presiden baca tulisan ini kerana saya sendiri tak tahu bagaimana nak beritahu Tuan Guru hal ini.

Berbalik kepada hubungan dengan Ustaz Kor, hubungan saya dengan dia terus berkekalan walaupun saya minta untuk berundur dari membantu beliau dalam lajnah PPN tersebut pada tahun 2001 setelah berada Terengganu dan dalam masa yang sama diminta untuk fokus membangunkan sebuah jabatan baru ditubuhkan, Jabatan IT Pas Pusat (JITP).

Walaupun tidak lagi berada dalam mana-mana lajnah yang dipimpin oleh Ustaz Kor selepas itu kerana saya telah berada dalam lajnah lain tetapi saya tidak pernah lupa kepada jasa beliau membawa saya ke dalam politik PAS Terengganu kerana kalau tidak kerana cadangan beliau selepas PAS menang di Terengganu pada tahun November, 1999 dulu, mungkin saya masih dalam kerjaya lagi dan tidak terlibat secara  fulltime dalam perjuangan PAS.

imageTerlalu banyak yang hendak ditulis tentang Ustaz Abu Bakar Chik yang banyak berjasa dan  memberikan kesan kepada saya terutama perihal kegigihan beliau dalam membentuk organisasi dalam PAS yang berjaya dan kekal hingga ke hari ini. Cuma dalam banayak itu, paling saya tak dapat saya lupakan adalah ketika beliau berada dikemuncak kuasa, setelah menang sebagai ADUN Batu Rakit (1999-2004) dan seterusnya PAS berjaya membentuk kerajaan pada tahun tersebut, beliau tetap dengan sikap biasanya yang humble.

Masih segar dalam ingatan, selepas PAS menang pada tahun 1999 dan Tuan Guru Ustaz Hadi mengangkat selesai sumpah Menteri Besar pada malam tersebut, keesokan paginya saya pulang ke Kuala Lumpor  ketika pimpinan PAS Terengganu sedang sibuk bermesyuarat membentuk kabinet.

Sebaik tiba di rumah di Bandar Baru Bangi dari Kuala Terengganu lewat petang pada hari tersebut, telefon rumah berdering. Ustaz Kor telefon dan  dia tanya ada pimpinan Terengganu telefon dah ke belum? Belum sempat saya tanya kenapa? Ustaz kor beritahu, nama enta dah dipersetujui menjadi seorang Setiausaha Menteri Besar dan minta saya ambil kapal terbang balik semula ke Terengganu esok pagi.

Saya kemudiannya meletakkan jawatan disebuah syarikat telekomunikasi dan balik ke Terengganu dengan tekad membantu pimpinan PAS menguruskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri. Sejak itu hubungan saya yang sedia ada dengan ustaz kor, ustaz haron dan lain-lain pimpinan Terengganu semakin rapat kerana terlibat dalam banyak urusan bila diminta turut sama membantu PAS dalam kerajaan negeri Terengganu 1999-2004.

Saya balik berhijrah semula ke Kuala Lumpur pada penghujung 2004 dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat MBA sebagai memenuhi janji saya kepada Ustaz Harun dan Ustaz Kor yang banyak memberikan galakan untuk saya terus menyambong pengajian sebelum ini kerana sebelum balik ke Terengganu, saya telah pun bercadang untuk menyambong pengajian keperingkat Masters.

Sungguhpun tidak lagi berada di Terengganu, hubungan saya  dengan ustaz Kor, Ustaz Haron dan lain-lain pimpinan Terengganu terus berkekalan terutamanya selepas mengasaskan Perantau Anak Tranung pada tahun tersebut dan saya menjadi setiausahanya.

Akhir kalam, semoga jasa Ustaz Abu Bakar Chik yang tidak terhingga menjadi amal dan bekalan yang amat berguna kepada sang murabbi yang telah kembali memui Illahi.

*** Shuhaimi al-Maniri aka. Shuhaimi Embong adalah Pengarah Jabatan IT PAS Pusat