Oleh: Dr Azman Ibrahim
Sakit secara umumnya disebabkan kuman yang dapat mengalahkan sistem pertahanan tubuh kita. Kuman yang diistilahkan sebagai bakteria atau virus, apabila menjadi kuat, ia akan dapat mengatasi antibodi dalam sistem pertahanan badan kita.
Dengan istilah mudah, kita sakit kerana kuman menjadi kuat dan antibody kita dikalahkan.
Kuatnya bakteria atau virus ini kerana mikroorganisma tersebut mendapat bekalan vitamin K dari sumber makanan yang kita makan.
Bermakna, makanan yang kita makan, bukan hanya utk diri kita, tetapi ia juga membekalkan tenaga kepada musuh di dalam tubuh kita sendiri.
Tak lalu makan ketika sakit sebenarnya proses semulajadi yang diatur oleh Allah dalam maksud untuk melemahkan kuman-kuman tadi lalu menyokong sistem badan untuk kembali sembuh dari sakit.
Bila kuman lemah disebabkan kekurangan bekalan makanan, antibodi akan menjadi kuat dan kita akan beransur pulih.
Tak lalu makan ketika sakit sebenarnya adalah sebahagian dari proses penyembuhan. Sebab itu kita rasa pelik kalau orang demam masih mampu menghabiskan 3 pinggan nasi!
Amalan berpuasa sebenarnya ibadat yang mampu menyihatkan badan apabila bakteria dan virus perosak di dalam sistem badan dilemahkan lantas badan kita mampu menjadi lebih sihat.
Untuk hidup manusia perlu makan, bukannya hidup untuk makan. Makanan adalah bahan bakar bagi tubuh manusia sebagaimana minyak adalah bahan bakar untuk enjin.


Bahan bakar untuk enjin kita isi dalam tangki minyak, bahan bakar untuk manusia kita isi dalam perut.
Ada beza antara tangki bahan bakar kereta dan motor dengan perut yang menjadi tangki simpanan makanan manusia. Tangki minyak untuk kereta dan motor diperbuat dari bahan logam yang keras. Kalau kapasitinya 30 liter, kita cuma boleh isi minyak 30 liter sahaja. Selebihnya akan melimpah keluar.
Perut sebagai tangki bahan bakar manusia pula diperbuat dari bahan kenyal. Ia boleh diisi 3 kali ganda dari jumlah yang sepatutnya. Contohnya kalau kita cuma perlukan sepinggan nasi, kita boleh makan sehingga 3 pinggan dan makanan tersebut tak akan melimpah keluar!
Minyak dalam tangki kereta motor, bila tak habis guna hari ini, kita boleh simpan untuk esok, lusa dan seterusnya.
Berbeza dengan tubuh manusia. Kalau hari ini tubuh kita hanya perlukan sepinggan nasi tetapi kita makan sampai 3 pinggan, tubuh kita tetap akan menggunakan kalori tenaga dari sepinggan sahaja. Bagaimana dengan lebihan 2 pinggan lagi? Apakah kita boleh simpan untuk kegunaan esok dan lusa sebagaimana kita boleh simpan minyak kereta? Jawabnya tidak! Lebihan makanan tersebut akan ditukar menjadi lapisan lemak yang menempel di segenap bahagian badan, antaranya di perut lalu masuklah kita dalam persatuan PJK (Perut Jalan Ke depan).
Untuk esok kita perlu makan yang lain pula. Bukannya bila kita dah makan banyak, bermakna 3 hari seterusnya kita tak perlu makan. Berapa ramai manusia yang lebih menyukai lebihan makanan mereka menempel sebagai lapisan lemak yang memudharatkan tubuh dari mengagihkannya kepada mereka yang lebih memerlukannya.
Ibadat puasa mengasuh kita menjadi prihatin dengan kesusahan orang lain.
Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.






























