MARANG – PAS Marang mahu dijadikan ‘role model’ kepada kawasan-kawasan lain di seluruh negeri Terengganu dengan penganjuran program Himpunan Keluargaku Ahli PAS (Hikap) 2014.
Yang Dipertuanya, Yahaya Ali berkata visi yang disepakati mahu menjadikan PAS Kawasan Marang sebagai role model kepada kawasan lain di seluruh negeri Terengganu.
Katanya, role model yang boleh dijadikan contoh tersebut sama ada dari segi kepimpinan dan gerak kerja parti termasuk bilangan keahlian PAS.


“Ini menjadikan kawasan kita (Marang) paling ramai jumlah keahlian PAS berbanding dengan kawasan-kawasan lain di negeri Terengganu,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Keluargaku Ahli PAS di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, 13 Jun lalu.
Bertemakan “Jom Join PAS”, program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu, Dr Alias Razak, selepas kuliah pagi Jumaat yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah di Masjid Rusila, Marang.
Yahaya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu menegaskan sebagai sebuah gerakan Islam, PAS memerlukan ahli yang ramai bagi menggerakkan kerja-kerja perjuangan yang semakin mencabar.
Bahkan, katanya bagi memenangi pilihan raya juga parti memerlukan ahli yang ramai serta cawangan yang banyak di setiap kawasan masing-masing.
“Gerakan menambah keahlian perlu diperkasakan bermula di peringkat cawangan dengan memberi fokus keutamaan kepada ahli keluarga dan daya hubungan masing-masing.
“Dalam konteks perjuangan (PAS), kita mahu anak-anak kita mewarisi perjuangan Islam yang kita dokongi ini,” jelasnya.
Beliau yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan PAS Terengganu menyifatkan bilangan ahli yang ramai sahaja tidak memadai tetapi perlu kepada ahli yang berkualiti dan bekerja.
Justeru, katanya PAS mengharapkan ahli-ahli parti sentiasa melibatkan diri dalam bidang tarbiyyah, dakwah dan siasah.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha PAS Terengganu, Mahyuddin Abdul Rashid, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.




























