KAMI menyambut baik hasrat YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mempelawa pengamal media bersama memberi cadangan dan idea bagi memastikan kebajikan rakyat dan agenda pembangunan Terengganu berjalan lancar.
Sememangnya kewujudan media yang adil, seimbang, telus, jujur dan berwibawa adalah antara ciri-ciri bangsa dan sebuah negeri yang bertamadun. Jika hal sebaliknya berlaku, bermakna kita masih lagi di alam primitif pemikiran media, walau nampak zahirnya maju.
Di zaman sekarang, siap yang buta media adalah orang yang buta huruf. Hakikat yang perlu diakui, pengamal media adalah antara individu yang paling dekat dengan masyarakat. Samada dekat untuk mendapatkan sumber berita dan maklumat, juga dekat untuk menyebarkan dan menyampaikan berita.
KAMI menilai MB baru Terengganu adalah pemimpin yang celik media apabila melihat antara langkah pertama yang diambil beliau sebaik memasuki pejabat sebagai MB adalah untuk bertemu dengan para pengamal media.
Sikap menilai tinggi peranan media ini perlu ada pada semua pemimpin politik sama Umno atau PAS. Menjauhkan diri dari media bermakna anda sebagai pemimpin politik sedang menyempitkan jalan anda untuk melangkah ke hadapan. Sebagai sebuah organisasi media dengan prinsip bebas, telus dan bertanggungjawab, KAMI bersedia untuk bersama mengambil tanggungjawab bagi memakmurkan lagi lapangan ini.
Seiring dengan hasrat yang dipertuturkannya, KAMI mengambil ruang untuk mengesyorkan dan menuntut agar MB selaku pemimpin nombor satu negeri Terengganu memainkan peranan penting dalam rangka merealisasikan prinsip kebebasan media serta mampu bertindak adil kepada semua media.
Bebas yang KAMI hasratkan bukanlah bermakna kita bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa sebarang ikatan dan peraturan. Dari segi media, bukanlah takrif kebebasan itu dengan erti boleh tulis, siar dan terbit apa sahaja sesuka hati. Tetap perlu ada peraturan yang mengawalnya.
Kebebasan media bukan bermakna kita bebas menyebarkan propaganda, fitnah, cerita yang direka-reka, adu domba, penyelewengan fakta dan yang sewaktu dengannya.
Kebebasan juga bukan bermakna kita bebas dari sebarang ikatan dosa, pahala serta tanggungjawab moral. Bukanlah juga tak bermakna kita boleh menceroboh hak peribadi orang lain.
Kebebasan bukanlah bermakna pihak pemerintah secara mutlak tidak mempunyai sebarang hak untuk mewujudkan kawal selia dalam sebarang organisasi media. Sebagai pemerintah mereka tetap perlu bertanggungjawab atas apa yang diterbitkan dan disiarkan.
– Pengiat media samada media cetak, elektronik atau media baru mesti diberikan ruang yang sepatutnya untuk mereka menjadi agen penyebar maklumat yang telus kepada masyarakat.
– Aktivis media pula khususnya yang beragama Islam mesti menggunakan ruang yang diberikan untuk mereka menjana pahala dari Allah dengan makna mereka mesti bertanggungjawab di hadapan Allah atas setiap huruf dan perkataan serta gambar, video dan sebagainya yang tersebar dalam masyarakat. Aplikasikan konsep dosa dan pahala dalam setiap kerja yang dilakukan.
– Kebebasan juga bermakna aktivis media mesti melakukan kerja dengan penuh sifat professional, telus, adil, berhikmah, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap laporan. Ciri-ciri ini akan menjadikan kita seorang insan media yang dihormati serta dialu-alukan kehadiran dalam masyarakat.
– Kebebasan juga bermakna semua pihak mesti diberikan ruang liputan dan penyebaran yang sama. Akhirya pembaca, pendengar dan penonton akan mampu menjadi hakim yang bijaksana apabila mereka mereka mempunyai pilihan fakta dan maklumat dari pelbagai sumber sebelum mereka membuat rumusan atas sesuatu isu yang berbangkit.
– Kebebasan juga bermakna, perjalanan aktivis media untuk mendapatkan berita dari lapangan dan tempat kejadian mesti dipermudahkan tanpa sebarang sekatan yang tidak sepatutnya.
Oleh:
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu.











