Terengganu, Malaysia

Hasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian (Hudud) Tidak Diteruskan

mat sabu

PAS Pusat bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu yang membacakan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dengan itu, kata Mohamad, PAS tidak meneruskan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (Hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014 bagi memberi ruang kepada jawatankuasa teknikal tersebut.

mat sabu1“Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Parlimen pada bulan enam ini tidak akan diteruskan.

“Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah,” katanya.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat PAS, parti itu juga bersetuju bahawa jawatankuasa teknikal hendaklah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan menyelia jawatankuasa teknikal di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Walaupun keputusan untuk menangguhkan pembentangan usul di Parlimen dibuat, namun Mohamad berkata, PAS bertekad untuk memastikan undang-undang hudud terlaksana.

“Terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbincang dengan Kelantan dan Pusat.

“Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada rakan sekutu dalam PR, Mat Sabu berkata, pihaknya tidak berbuat demikian.

“Mereka belum tahu. Mereka akan mengetahuinya melalui laporan adil media hari ini,” katanya.

Pada April lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah mengumumkan kerajaan negeri sudah bersedia dengan draf satu RUU persendirian (private bill) berhubung hukum hudud.

Rang undang-undang itu akan dibawa Ahli Parlimen PAS dari Kelantan ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Kelantan tersebut disambut baik oleh Umno, termasuk pemimpin tertingginya iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat usaha itu diteruskan.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan