Liputan Sidang DUN Oleh Akhbar Perdana

787

syariah seperti yang termaktub dalam al-Quran agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa menepati syariat Islam.

Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) berkata, sekiranya ingin mengatasi masalah sosial di negeri ini yang dilihat semakin berleluasa, penubuhan satu jawatankuasa yang menggunakan pendekatan holistik al-Quran mampu mengurangkan masalah tersebut dalam kalangan remaja hari ini.

“Ini sebab, rata-rata remaja yang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral kebanyakan lemah dalam pengetahuan agama dan kita percaya sekiranya jawatankuasa ini dilulus dan dilaksanakan, masalah itu dapat dikurangkan walaupun tidak seratus peratus,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, semalam.

Sementara itu, Wan Hassan meminta Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pembinaan satu hospital baru di Dungun kerana ia sangat penting dalam soal kesihatan masyarakat di kawasan itu.

“Perkara ini sangat penting kerana hospital yang sedia ada dibina sejak 1960- an lagi dan banyak kemudahan tidak mencukupi dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kita berharap permohonan ini akan dapat dikaji dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10),” katanya.

Beliau juga menyarankan penekanan pembelajaran al-Quran tidak hanya terhad kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah sahaja kerana pada masa sekarang masih terdapat pelajar di sekolah rendah dan menengah yang tidak dapat me-nguasai pembacaan al-Quran sepenuhnya.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu memikirkan alternatif terbaik seperti menambahkan bilangan kelas agama supaya generasi muda dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk mendalami dan menghafaz al-Quran.

“Memang diakui Kerajaan Negeri begitu menitikberatkan pembangunan akademik namun usaha ke arah melahirkan generasi celik al-Quran juga wajar diberi penekanan,” katanya. – Sinar Harian

46 lesen pusat karaoke dilulus

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengeluarkan sebanyak 46 lesen pusat karaoke mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Kaedah-Kaedah Hiburan serta Tempat Hiburan 2003.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, tujuh lesen dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Kemaman (20), Majlis Daerah Dungun (enam) dan Majlis Daerah Besut (7).

Menurutnya, empat lesen lagi dikeluarkan Majlis Daerah Marang, dua di Majlis Daerah Setiu manakala Majlis Daerah Hulu Terengganu tidak mengeluarkan sebarang lesen.

Beliau berkata, setiap pusat karaoke dan hiburan yang dibuka akan diperiksa PBT terlebih dahulu bagi memastikan ia mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 dan Kaedah-Kaedah Hiburan dan Tempat Hiburan 2003. – Sinar Harian


Terengganu bakal wujud kereta api

KUALA TERENGGANU 7 April – Terengganu bakal mempunyai sistem pengangkutan kereta api di bawah program pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti.Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw ketika memberi jaminan itu bagaimanapun berkata, perkhidmatan itu bakal dinikmati rakyat di negeri ini sekiranya kajian mengenainya berjalan lancar.

Menurutnya, buat masa ini, kajian berhubung perkara itu masih di peringkat pertama kajian dan perunding terlibat telah dilantik oleh pihak pelaksana program Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER).

“Kita memang ada cadangan nak wujudkan kemudahan pengangkutan kereta api di negeri ini yang disambung dari Kuala Lumpur dan negeri lain kerana ia merupakan satu keperluan bagi industri pelancongan dan lain-lain.

“ECER sudah lantik perunding dan kita jangka ia dapat dilaksanakan dalam RMK-10 sekiranya kajian ini dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai bila rakyat Terengganu berpeluang menikmati sistem perkhidmatan kereta api pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-12 di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) mengenai projek yang dilaksanakan di bawah ECER di negeri ini, Chin Yaw berkata, setakat ini terdapat 38 projek diwujudkan bermula di bawah RMK-9.

Sementara di bawah RMK-10 pula, jelasnya, sebanyak 10 projek bakal dilaksanakan antaranya berkaitan industri pelancongan, pembuatan, petrokimia, agropolitan dan usahawan. – Utusan

Usul tergempar tangani gejala mat rempit

KUALA TERENGGANU 7 April – Persidangan hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini dikejutkan dengan usul wakil rakyat pembangkang supaya kerajaan negeri lebih pro aktif bagi membendung gejala mat rempit yang semakin serius di negeri ini ketika ini.

Usul itu dikemukakan oleh Mohd. Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) sebelum mendapat reaksi positif daripada Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Menurut Mohd. Nor, usul itu dibuat supaya kerajaan negeri menyegerakan langkah pro aktif dan drastik dalam usaha menangani masalah merempit yang semakin berleluasa di negeri ini.

“Kita bawa usul ini agar semua ahli dewan membahas dan bertindak segera bagi menangani masalah mat rempit yang kian menjadi-jadi di Terengganu sekarang.

“Masalah ini, kita tak boleh selesaikan dengan cara menyediakan topi keledar. Begitu juga seperti langkah bendung HIV, kita sediakan kondom dan jarum, ia tak selesaikan masalah,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu mengemukakan usul berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-12 di sini hari ini.

Katanya, mengikut kajian, daripada kalangan mat rempit, 95 peratus adalah orang Melayu dan 29 peratus daripadanya pula dikesan berusia antara 14 hingga 25 tahun yang terbabit dalam jenayah.

“Kita bimbang dengan gejala rempit di Terengganu sekarang ini, jadi kerajaan negeri perlu tangani segera masalah ini,” katanya. – Utusan

Kerajaan Terengganu Diingat Jangan Rakus Keluar Lesen Balak

KUALA TERENGGANU, 7 April (Bernama) — Kerajaan Terengganu diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan lesen pembalakan bagi memastikan hasil maksimum dapat dikutip daripada sektor itu.

Ramlan Ali (BN-Jabi) berkata langkah kerajaan memberi konsesi balak kepada rakyat tempatan adalah baik namun ia perlu memastikan lesen berkenaan tidak dikeluarkan terlalu banyak sekaligus.

“Dengarnya banyak lesen balak yang dikeluarkan, sehingga mereka (pemegang konsesi) tercari-cari pelanggan. Pembeli pula, bila bekalan terlalu banyak, mereka boleh letak harga, jadi ini merugikan.

“Ia merugikan pemilik konsesi dan juga kerajaan,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Ramlan juga meminta kerajaan negeri memastikan penggunaan wang kerajaan dibuat dengan berhemah dan didedahkan kepada rakyat.

“Ini kerana sudah banyak kali kita dengar komen, wakil rakyat kita banyak kali sangat buat lawatan ke luar negara, kalau boleh dedahkan berapa perbelanjaannya dan apa hasilnya,” katanya.

Beliau juga memuji kerajaan negeri keranan memperkenalkan program e-book dalam usaha meningkatkan aspek pendidikan di negeri itu dan mahu kerajaan memanjangkan pengagihan komputer riba kepada anak negeri itu yang kini belajar di institusi pengajian tinggi.

“Program e-book wajar diteruskan, tapi penting untuk ia ditambah nilai. Kalau tidak menjadi keberatan kepada kerajaan, bekalkan kepada mahasiswa yang belajar di institusi pengajian tinggi. Kita tak rasa ia memakan belanja yang banyak berbanding kos e-book untuk pelajar sekolah rendah yang mencecah RM500 juta,” katanya.

Ramlan membidas pembangkang kerana cuba untuk membawa usul mengenai masalah mengenai mat rempit di negeri itu untuk dibincangkan dalam persidangan dewan.

“Semalam bawa usul royalti, hari ini bawa pula usul mat rempit, dah tahu usul itu akan ditolak. Ini akan jadi modal untuk mereka berceramah. Nanti boleh kata kerajaan negeri tak peka dengan masalah remaja dan masalah mat rempit ni. Ini semua mereka nak guna untuk naikkan imej mereka dan mencalar imej BN (Barisan Nasional),” katanya.

Usul yang dibawa Mohd Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN Terengganu itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker Datuk Tengku Putera Tengku Awang.- BERNAMA

Terengganu Digesa Sedia Peluang Pekerjaan Untuk Penduduk Khususnya Di Ecer

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) — Kerajaan Negeri Terengganu diharap dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk penduduk negeri ini terutama di kawasan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Rosli Othman (BN-Kemasik) ketika brbahas di Dewan Undangan Negeri berkata keutamaan perlu diberikan kepada golongan belia, sebagai satu cara membendung masalah sosial yang ditimbulkan golongan itu.

“Kita harap satu agensi khas ditubuhkan untuk mengurus pengambilan pekerja-pekerja terdiri dari anak tempatan ini terutama di kawasan perindustrian.

“Dengan peluang pekerjaan yang mencukupi, kita harap dapat dikurangkan masalah sosial yang ditimbulkan golongan belia ini,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Katanya perancangan pembangunan ECER di negeri itu melibatkan empat teras iaitu pendidikan, pelancongan, petrokimia dan pertanian dijangka menyediakan 70,000 peluang pekerjaan secara berperingkat sehingga tahun 2020.

Sementara itu, kerajaan negeri juga digesa supaya lebih agresif dalam memajukan sektor pelancongan terutama berkaitan sejarah yang sehingga kini masih lagi belum mencapai potensi sebenarnya.

Mohd Zawawi Ismail (BN-Kuala Berang) berkata kerajaan negeri sepatutnya mempromosikan kawasan seperti Hulu Terengganu yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah ketamadunan manusia.

“Kawasan seperti Hulu Terengganu sudah diiktiraf mempunyai banyak artifak sejarah. Di situ juga ada dijumpai pelabuhan terawal, selain penemuan Batu Bersurat yang menjadi penanda aras kedatangan Islam di negara kita.

“Saya sangat berharap kerajaan dapat memajukan pelancongan sejarah kerana apa yang dibuat setakat ini, nampaknya tidak bersungguh-sungguh, seperti hidup segan, mati tak mahu,” katanya.

Beliau juga menyarankan supaya Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud atau lebih dikenali sebagai empangan Tasik Kenyir yang merupakan empangan hidro kedua terbesar di negara ini selepas Pergau, dikawal oleh anggota tentera berikutan kepentingannya daripada segi keselamatan.

“Sekarang ini empangan itu hanya dikawal oleh dua tiga orang pengawal keselamatan sahaja, nampaknya ia masih tidak mencukupi,” katanya.