Beri Dokongan Supaya Hudud Dilaksanakan

1773

Dr Riduan Mohd Nor

Langkah kerajaan PAS Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang membawa kepada perlaksanaan hukum hudud pada 2015 mendapat respons positif daripada pelbagai pihak. Langkah kerajaan Kelantan di bawah Menteri Besar Datuk Ahmad Ya’acob meluluskan Enakmen ini amat wajar dan tepat pada masanya.

Sebelum ini, PAS sudah acapkali di tohmah dengan pelbagai fitnah yang menyakitkan hati. Selama bertahun-tahun PAS dituduh sebagai retorik, tidak menunaikan janji, menjual agama, hipokrit dan lain-lain lagi. Malah, negeri ‘Serambi Mekah’ Kelantan dianggap gagal dengan statistik jenayah dan gelaja sosial yang cukup tinggi.

Kali ini giliran PAS pula mengotakan janjinya dengan Enakmen ini yang membuktikan bahawa PAS benar-benar serius melaksanakan undang-undang Islam dan bukan sekadar slogan tempelan semata-mata. PAS bersedia menghadapi segala bantahan mahupun tentangan hasil daripada pelaksanaannya kelak. Mungkin juga musuh Islam daripada kerajaan besar di dunia ini sedang mengintai dan berusaha mengambil tindakan terhadap kerajaan Kelantan. Kesemua itu telah difikirkan dan kerajaan Kelantan serta PAS bersedia menghadapinya.

Saya teruja dan terharu dengan kenyataan Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa UMNO Kelantan menyokong usaha kerajaan negeri Kelantan melaksanakan Hudud. Jika ia benar lahir dari hati pemimpin-pemimpin UMNO, maka pelaksanaan Hudud bukan lagi halangan buat kerajaan pusat dan  ia bakal menjadi realiti tidak lama lagi. Hanya penerangan yang perlu diberikan kepada golongan yang tidak memahami termasuk golongan bukan Islam.

Saya mengajak kesemua pihak agar terus menyokong usaha kerajaan Kelantan ini. Program ilmiah, wacana, penerangan, serta taklimat isu Hudud perlu dijadikan agenda bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat agar rakyat khususnya bukan Islam memahaminya dalam konteks yang sebenarnya. Risalah serta program khas daripada media rasmi kerajaan, media sosial mahupun kempen perlu secara meluas bertebaran masuk ke kampung-kampung dengan menjadikan setiap rakyat mengerti isu hudud ini.

riduan mohd norSelain itu, kerajaan Kelantan perlu dijadikan model ikutan negeri-negeri dalam melaksanakan Hudud. Dalam pelaksanaan syariat Islam, tidak timbul mempolitikkan isu Hudud kerana Hudud adalah milik bersama, bukan hanya untuk PAS atau UMNO. Setiap kerajaan negeri boleh mencontohinya bagi memastikan negeri dan negara ini patuh kepada perintah Allah SWT. Lebih dari itu, kerajaan Persekutuan juga boleh mengambil panduan daripada kerajaan Kelantan supaya hudud juga boleh dijadikan sebagai agenda nasional dan akan dilaksanakan beberapa tahun mendatang.

Pelaksanaan Syariat Islam adalah suatu kewajipan untuk dilaksanakan. Tambahan pula, ia boleh dilaksanakan kerana Allah SWT sebagai pencipta  makhluk mengetahui hakikat kemampuan manusia. Hudud adalah mudah, praktikal, adil, relevan dan mampu menyelesaikan permasalahan jenayah dan dosial di negara ini. Negara ini akan mencapai keamanan dan kesejahteraan andai kesemua pihak benar-benar melaksanakannya. Hanya semangat, iltizam dan keinginan sahaja membezakan sebagai dalih kerajaan mahu melaksanakannya atau tidak.

*** DR RIDUAN MOHD NOR adalah aktivis NGO Muslim Care yang juga SetiausahaLajnah Dakwah PAS Pusat