KUALA TERENGGANU – PAS memandang langkah pembelian bas dua alam ‘amphicoach’ untuk menjadi tarikan pelancong di tasik Kenyir sebagai satu perkara yang tidak penting dan tidak perlu diberi keutamaan.
Ia akan menjadi satu lagi projek pembaziran kerajaan Umno dan Barisan Nasional khususnya di negeri Terengganu.


“ia akan menjadi satu lagi pembaziran, langkah memperkenalkan Amphicoach akan hanya mengundang rasa tidak puas hati para pengusaha,
“sedangkan matlamat industri pelancongan adalah bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat,”ujar Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berita akhbar tempatan yang melaporkan, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan rancangan kerajaan negeri membeli dua buah bas ‘amfibia’ (dua alam) berharga RM3 juta setiap satu.
Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Payong, Marang, menyelar alasan Ahmad, kononnya bas tersebut juga boleh digunakan sebagai penyelamat musim banjir.


“banjir baru-baru ini telah membuktikan yang kita tidak memerlukan Amphicoach ini yang bernilai jutaan ringgit bagi kerja-kerja menyelamat.
“Kita hanya perlu kepada bot-bot kecil yang lebih mudah untuk masuk ke kawasan-kawasan sempit bagi tujuan menyelamat,” tegasnya.
Menurutnya, kenyataan Ahmad seolah-olah beliau berlagak pakar ‘banjir, dalam tindak kecemasan ‘ Emergency and Response’ selepas sebelum itu, seolah-olah beliau seorang saintis, ketika ‘melancong’ ke Antartika.
“ini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah MB juga pakar dalam bidang ‘Emergency Response’ kerana sepatutnya kenyataan berkaitan dengan kerja-kerja penyelamat ini datangnya dari pihak berkaitan seperti JPAM atau JBPM setelah kajian dilakukan.
“Ini adalah kali kedua dalam masa terdekat, MB cuba menjadi jurucakap pakar setelah baru-baru ini beliau dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak saintis ketika menjawab persoalan tujuan lawatan beliau ke Antartika,”jelas Mohd Nor.





























