Aspek Solat Mampu Selesai Masalah Sosial Negara

1148

SETIU – Kehebatan agama Islam yang bukan hanya ibadah kerahiban semata-mata, bahkan sebagai satu panduan lengkap cara hidup manusia dapat dibuktikan dengan kajian sains.

Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jabi Dr Azman Ibrahim, sebagai contoh ibadah solat berkait rapat dengan kesihatan dan tingkah laku manusia.

Katanya, solat yang diamalkan secara tetap dan berterusan menjadikan seseorang manusia patuh dan berdisiplin.

“Solat adalah teras disiplin yang paling utama. Ummat yang paling hebat dan paling berdisiplin di dunia adalah ummat Islam. Ketika orang lain masih tidur di awal pagi, kita sudah bangun membersihkan diri dari kotoran zahir dan dosa.

“Menunaikan sembahyang yang merupakan amalan ibadat lengkap dengan pakej rohani dan jasmani. Kemudian kita mulakan kehidupan hari ini dengan penuh bersedia, berkeyakinan dan bersemangat. Inilah kita ummat Islam!,”jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Hikmah solat dari sains perubatan’ di Maahad Tahfiz wat Ta’alim, Matla’in Badrin, dekat sini.

Oleh itu, katanya, masalah sosial yang melanda kebanyakkan negara moden termasuk Malaysia akan selesai sekiranya dasar kerajaan menitik beratkan aspek solat dalam kehidupan rakyatnya.

“Bila kita membicarakan soal disiplin, pemerhatian aspek disiplin yang paling utama yang perlu diperhatikan adalah disiplin kita sebagai seorang hamba dengan Allah,

“Pencipta kita. Seorang insan yang berdisiplin dengan Allah, dia akan tampil sebagai seorang pelajar yang berdisiplin dengan tugas dan kewajipannya.” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Maahad Tahfiz Wat Ta’alim Matla’in Badrin kini telah mencapai usia tujuh tahun penubuhannya dan Berjaya melalui ‘hari-hari sukar’ diperingkat awal kewujudannya sehingga kini, mampu berdiri sebagai sebuah pusat tahfiz rakyat.