Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, penahanan seorang Setiausaha Politik kepada Menteri Kanan Umno itu merupakan satu lagi indikator rasuah yang berlaku dalam negara kita.
”Ia merupakan satu indikator rasuah yang berlaku, sebab itu kita yakin untuk indeks rasuah untuk tahun 2010 akan meningkat lagi, yang sekarang ini sudah meningkat daripada tahun lepas,
tahun 2009 telah meningkat dan tahun ini juga akan meningkat,”katanya ketika ditemui selepas Ceramah Penarangan Isu-isu Semasa yang diadakan disini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut bahawa pegawai-pegawai SPRM dari Putrajaya telah menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang pada jam 3.30 petang Khamis lalu dan merampas sekarung wang kertas RM5, RM10, RM50 dan RM100, berjumlah tidak kurang RM2 juta.
Katanya, PAS juga berharap agar SPRM dapat membongkar, bagaimana wang itu diperolehi dan mungkinkah ada kaitannnya dengan Menteri berkenaan.
”kita harapkan juga SPRM dapat menyiasat, bagaimana wang tersebut diperolehi (oleh Setiausaha Politik itu) dan apakah ada kaitan atau tidak dengan menteri yang berkenaan?,”soalnya.
Oleh kerana, soal ketelusan politik adalah amat penting, beliau juga berharap, SPRM bertindak secara telus dan integriti serta mempunyai komitmen yang tinggi dalam kes tersebut serta kes-kes lain yang berprofail tinggi.
”sebagaimana yang selalu diuar-uarkan oleh Ketua Pengarah SPRM yang baru, yang selalu meminta kami membantu SPRM,
”ini merupakan ujian awal pada beliau (untuk membuktikan kes) yang melibatkan soal ‘ikan jerung’ bukan ‘ikan bilis,”katanya.
Sehubungan itu beberapa laman web telah menyiarkan berita perletakan jawatan Hasbie Setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana MenteriTan Sri Nor Mohamad Yackob berkuatkuasa semalam.
Perletakan jawatan Hasbie dilihat berkait rapat dengan penahanan seorang Setiausaha Politik Menteri Umno Khamis lalu.
http://www.youtube.com/watch?v=BdWWisKKHoM








