Apa Kaitan ‘Kangkung’ Dengan 13 Mei?

1318

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan tindakan Umno mengaitkan isu ‘kangkung’ dengan peristiwa 13 Mei 1969 adalah sangat melampau dan berbaur perkauman.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, pihak terlibat khususnya Umno Pulau Pinang perlu menerima kritikan rakyat terhadap Presiden Umno Dato’ Seri Najib Razak, dengan terbuka.

Menurutnya, ia tidak sesekali melibatkan perkara sensitif sebaliknya simbolik ‘kangkung’ itu adalah berkaitan kenaikan harga barangan sebagaimana ucapan Perdana Menteri sendiri.

“Apa yang rakyat dukacita adalah kenaikan harga barangan di bawah kawalan kerajaan contohnya minyak, tarif elektrik, gula dan sebagainya tetapi ‘kangkung’ bukan di bawah kawalan kerajaan.

“Kerajaan perlu lebih prihatin menggunakan contoh kerana rakyat sensitif dan kangkung bukanlah isu, jadi, kerajaan kena terima kerana rakyat menerima tekanan yang banyak,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmatnya, di sini pada Ahad 19 Januari..

kangkung 13 meiKatanya, sekalipun Adun Machang Bubuk dari PKR, Lee Khai Loon seolah-olah mempersenda dengan memberi makan kangkung kepada ‘replika’ mirip Datuk Seri Najib, ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai perkauman.

Oleh itu, beliau berkata, tidak sayugia kepada mana-mana pemimpin Umno mengaitkannya dengan tragedi 13 Mei yang telah berlalu sekian lama.

Dalam perkembangan lain, pemimpin Pakatan Rakyat Terengganu khususnya di Parlimen Kuala Terengganu akan turun beramai-ramai meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Raja Bahrin yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Kuala Terengganu berkata, 600 kotak limau dan kalendar percuma akan diagihkan kepada kira-kira 2,000 kaum Tionghua, di sini.

Beliau berkata, program hadiah tahun baru itu akan dibuat di Pasar Tani Kampung Tiong pada 24 Januari ini, di samping jamuan makan malam pada 15 Februari depan yang akan dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, acara tersebut merupakan salah satu usaha untuk meneruskan hubungan baik antara pimpinan PR dengan masyarakat setempat.

“Kita harap masyarakat Cina yang berada di kawasan-kawasan lain seperti di Losong dan sebagainya supaya dapat turun ke kawasan terlibat dan pengagihan akan dibuat pada waktu pagi yang akan dihadiri Ahli Parilmen dan juga Adun-Adun di Parlimen Kuala Terengganu.

“Untuk lokasi jamuan makan malam pada 15 Februari depan yang dibuat sehari selepas Chap Goh Meh, kita akan tentukan kemudian,” katanya.