Menurut Pengarah Program, Saudara Mohd Yusoff Yaakob, Panduria dirangka khas bagi menangani masalah-masalah sosial yang kian meruncing dikalangan belia seperti lumba haram dan merempit.
Selain itu, katanya, program ini juga bertujuan memberikan pendidikan kepada belia-belia tentang pemanduan berhemah dan keselamatan di jalan raya.
Oleh yang demikian, beliau mengajak seluruh pemuda kawasan Dungun menyertai Panduria 2010 yang akan berlangsung pada Sabtu, 27 Februari, 2010.
Kata beliau, program tahun ini adalah siri kedua, dianjurkan selepas mendapat sambutan yang amat menggalakkan pada siri pertama tahun 2007 dahulu.
”Siri pertama, tahun 2007, penyertaan hampir 70 buah motosikal, tahun ini (2010) adalah dalam rangka aktiviti ‘Orang Mude Geng Kite’, kita mahu penyertaan lebih ramai,”jelasnya.
Namun, Mohd Yusof sebagaimana dipetik dari laman blog Pemuda Dun Sura berkata, Panduria adalah khusus dan terhad kepada Pemuda yang tinggal dan bermukim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sura sahaja.
Katanya, setiap peserta juga disyaratkan mesti memiliki lesen B2 yang sah dan penyertaan adalah diwajibkan secara berpasangan.
Sehubungan itu, katanya, borang penyertaan boleh didapati dari ketua pemuda cawangan, Pustaka Bentalib dan Kedai Gunting Nasir, Padang Jambu.
”Setiap penyertaan yang diterima, akan menjadi peserta Panduria dan akan dibekalkan dengan beberapa soalan berpandukan kata kunci di setiap laluan,
”setiap peserta yang terpilih juga akan diberi percuma T-Shirt Panduria 2010 beserta baucer petrol,”jelas Yusoff
Justeru beliau membuka peluang kepada semua pihak terutamanya kepada para dermawan dan muhsinin untuk bersama-sama Pemuda Dun Sura bagi menjayakan Panduria 2010.
Katanya, kos penganjuran agak besar, namun pihaknya percaya, usaha baik mereka akan dipermudahkan oleh Allah SWT
”Untuk makluman, kos penganjuran program ini dianggarkan berjumlah RM7,000.00. Sehubungan dengan itu besarlah harapan kami untuk memohon sumbangan ikhlas dari pihak sdra/sdri untuk menjayakan program ini,”kata Yusoff lagi








